HARI AUDIT DALAMAN EKSA 2025 ZON PBM
PEKAN, 18 September 2025 – Zon Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmen terhadap pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dengan Audit Dalaman EKSA 2025 yang berlangsung pada jam 10.00 pagi di bangunan PBM, Pekan.
Audit ini dikendalikan oleh juruaudit yang diketuai oleh Ts. Abd Rahman Fahmi Mat Hasan, Pegawai Latihan Vokasional dari Pusat TVET Termaju, bersama Puan Noor Fateeha Mohamad, Pembantu Pustakawan dari Perpustakaan UMPSA.
Menurut Ts. Abd Rahman Fahmi, audit dalaman EKSA yang dijalankan tidak bertujuan untuk mencari kesalahan semata-mata, sebaliknya sesi audit ini menjadi platform penambahbaikan bagi memastikan setiap zon dapat mengekalkan standard pelaksanaan yang konsisten dan sistematik mampan.
Delegasi PBM pula diketuai oleh Ketua Unit EKSA PBM, Hanisah Bon (Kasbon) bersama ahli jawatankuasa iaitu Siti Ainun Jariyah Hassan, Muhamad Aizat Zulkifli dan Nurul Syazwani Aziz. Sepanjang proses penilaian, ahli jawatankuasa memberi kerjasama penuh kepada juruaudit bagi memastikan setiap komponen audit diberi perhatian, termasuk ruang kerja, tempat umum dan kawasan persekitaran jabatan.
Dalam sesi penutup, barisan juruaudit merumuskan bahawa inisiatif dan usaha Zon PBM berada pada tahap tinggi dan memuaskan. Persekitaran kerja yang kemas, tersusun serta berimej profesional jelas mencerminkan budaya kerja kondusif. Malah, Zon Amalan Go Green turut menerima pujian sebagai lokasi yang menjadi sorotan utama audit kali ini.
Walau bagaimanapun, beberapa aspek penambahbaikan turut disarankan, antaranya pengemaskinian pelabelan KEW.PA-7 di semua bilik, melabel kabel dengan lebih teratur, menyelaras hiasan pejabat agar selaras dengan imej korporat, serta meningkatkan kualiti pengurusan stor supaya lebih tersusun dan kemas.
Sementara itu, Jawatankuasa Audit EKSA PBM, Puan Nurul Nadia Muhammad yang turut mengetuai audit kendiri pada 30 Julai lalu, menjelaskan bahawa beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan berdasarkan hasil audit kendiri yang dilakukan bagi memastikan EKSA PBM memenuhi kriteria pemarkahan yang telah ditetapkan. Justeru, Unit EKSA PBM telah mengambil langkah dengan mengadakan gotong-royong persediaan audit pada 17 September 2025. Gotong royong itu melibatkan aktiviti seperti pelabelan ruang, penyusunan pejabat, pengemaskinian papan tanda (signage) serta kerja-kerja pengemasan lain.
“Usaha berterusan ini mencerminkan semangat ahli Unit EKSA PBM yang sentiasa meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan saling membantu antara satu sama lain. Kami berharap markah audit sebenar kali ini dapat mencapai tahap yang lebih membanggakan.” ujar beliau.
Kali ini kumpulan EKSA PBM tampil lebih bersedia apabila enam orang ahlinya telah menghadiri Bengkel Juruaudit Dalaman EKSA UMPSA Bahagian Pembangunan Sumber Manusia yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar dan Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) pada awal tahun iaitu 13 hingga 14 Januari 2025. Penglibatan mereka sebagai juruaudit terlatih memberikan nilai tambah dari segi pengetahuan dan pengalaman, sekali gus membantu PBM memahami dengan lebih jelas kriteria penilaian audit.
Untuk maklumat lanjut, rujuk artikel berikut: https://pbm.umpsa.edu.my/index.php/news-home/cml-eksa-team-levels-up
Audit Dalaman EKSA 2025 Zon PBM ini memperlihat inisiatif warga PBM dalam memastikan suasana kerja yang kondusif dan mampan, seiring dengan aspirasi universiti untuk mencapai kecemerlangan ekosistem organisasi.
Disediakan oleh: Leong Hui Theng dan Siti Ainun Jariyah Hassan