HARI BADMINTON PBM YANG PENUH CERITA
“Out!” Bulu tangkis yang jatuh di luar garisan dipungut semula. “Siapa serve?” soalan yang memecah hening petang itu dengan riuh tawa. Bukan hanya empat pemain di gelanggang, bahkan rakan-rakan di tepi gelanggang turut ketawa. Petang Jumaat itu terasa lebih ringan, seolah-olah penat seharian bekerja hilang bersama setiap pukulan bulu tangkis.
Pada 22 Ogos 2025, Unit Sukan dan Rekreasi Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menganjurkan Hari Badminton PBM di Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan. Dari pukul tiga hingga lima petang, raket dikilas dan dihayun tanpa henti. Seramai 13 staf PBM turun ke gelanggang; ada yang mahu mengasah ketajaman pukulan, ada pula yang sekadar mahu mengeluarkan peluh selepas seharian bekerja, dan yang pastinya, semua mahu melepaskan tekanan.
“Main badminton bersama rakan-rakan memang menyeronokkan, badan berpeluh membuatkan tubuh terasa sihat,” ujar Hanisah, guru bahasa Inggeris. Hari Badminton PBM ini diadakan sebagai kesinambungan Kejohanan Sukan Staf Antara Jabatan (Inter-PTJ) UMPSA 2025, sekali gus menjadi aktiviti berkala bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga PBM.
Bagaimana badminton mendapat namanya?
Sambil berehat, seorang pemain bertanya kepada rakannya, “Fida, pernah fikir bagaimana badminton dapat namanya?”. Senyuman Fida mengiringi satu kisah panjang. Beribu tahun sebelum dikenali sebagai badminton, masyarakat purba di China, Yunani dan Jepun sudah bermain bulu tangkis dalam bentuk berbeza. Di China purba, wujud permainan ti jian zi, iaitu melambungkan objek berbulu (jian zi) menggunakan kaki. Bentuknya hampir sama dengan bulu tangkis hari ini. Orang Yunani pula pernah bermain battledore and shuttlecock, menggunakan dayung atau tongkat untuk memukul shuttlecock (Rajabova et al., 2025).
Menurut catatan dalam buku terbitan Badan Penerbit Universitas Negeri Makassar (2022), pengkaji percaya badminton moden berakar daripada permainan tradisional India yang dikenali sebagai poona. Permainan ini diperkenalkan kepada pegawai British, yang kemudian membawanya pulang ke England. Di sanalah Duke of Beaufort memainkan peranan penting. Pada tahun 1873, beliau membina gelanggang amatur pertama di kawasan kediamannya, Badminton House. Dari situlah nama “badminton” mula dikenali.
Tidak lama kemudian, Badminton Association of England ditubuhkan pada tahun 1893, disusuli kejohanan All England pada tahun 1899. Populariti badminton terus meluas hingga ke peringkat antarabangsa dengan penubuhan International Badminton Federation pada 1934. Sejak lahirnya Piala Thomas (1948) dan Piala Uber (1956), sukan ini makin mencuri perhatian dunia sebelum akhirnya diiktiraf sebagai acara rasmi Olimpik di Barcelona pada 1992.
Siapakah pemain Malaysia yang memegang rekod smash terpantas?
“Kalau cerita sejarah sudah panjang, cuba teka siapa pemegang rekod smash Malaysia terpantas?” Fida melontarkan soalan baharu.
Menurut laporan Berita Harian (2023), pada 14 April 2023, Pearly Tan, pemain badminton wanita negara kita, mencipta sensasi apabila pukulan smash beliau diiktiraf Guinness World Records sebagai yang terpantas dalam kategori wanita dengan kelajuan 438 km/j, iaitu lebih laju daripada kereta Formula Satu (F1) di litar. Sebelum itu, Tan Boon Heong, pemain lelaki Malaysia, pernah mencatatkan kelajuan 493 km/j (2013). Namun, rekod dunia keseluruhan kini dipegang pemain India, Satwiksairaj Rankireddy, dengan smash menakjubkan 565 km/j pada tahun 2024. Semua angka luar biasa ini mengukuhkan reputasi badminton sebagai antara sukan paling pantas di dunia.
Apa rahsia kesihatan di sebalik badminton?
Selain kaya dengan sejarah dan rekod, badminton juga menyimpan rahsia kesihatan. Menurut kajian, mereka yang aktif bermain badminton mempunyai jangka hayat 6.2 tahun lebih panjang berbanding individu sedentari. Badminton tersenarai sebagai sukan kedua terbaik untuk jangka hayat, hanya setapak di belakang tenis yang mencatat rekod 9.7 tahun (Schnohr et al., 2018).
Setiap kali kita mengejar bulu tangkis, tubuh sebenarnya menjalani senaman lengkap. Jantung berdegup lebih kuat dan peredaran darah menjadi lancar. Fokus terhadap bulu tangkis yang meluncur pantas turut melatih otot mata serta meningkatkan koordinasi. Tidak hairanlah badminton digelar salah satu senaman aerobik yang berkesan untuk menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.
Namun, kelebihan badminton tidak hanya terletak pada fizikal. Di gelanggang, pemain belajar mengawal rasa gugup dan membina keyakinan diri. Setiap pukulan bukan sekadar soal teknik, tetapi juga tentang kekuatan emosi. Badminton menuntut kelincahan, tumpuan tinggi serta koordinasi mata dan tangan yang mantap. Sambil tubuh bergerak ke setiap sudut gelanggang, otak pula dilatih membuat keputusan sepantas kilat.
“Game over!” Seorang pemain menjerit sambil melangkah ke luar gelanggang mencapai botol air. Hari Badminton PBM bukan sekadar satu aktiviti riadah, tetapi juga ruang untuk staf PBM melepaskan tekanan dengan cara yang sihat. Sihat badan, sihat minda. Kita sambung cerita di gelanggang lain pada masa hadapan. Mungkin di Hari Badminton PBM 2.0?
Disediakan oleh: Leong Hui Theng, Shamsul Harbi