UMPSA SERTAI BENGKEL PELAPORAN PELAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DI IPTA 2025–2030
SHAH ALAM, 23 Mei 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Bengkel Pelaporan Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2025–2030 yang berlangsung selama dua hari, bermula 22 hingga 23 Mei 2025 bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam.
Bengkel ini dianjurkan oleh Seksyen Parlimen, Inovasi dan Pemerkasaan Bahasa Melayu di bawah seliaan Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), Che Hazwani Che Mansor, dan melibatkan penyertaan pegawai fokal IPTA terpilih dari seluruh negara, merangkumi 20 universiti awam, tujuh politeknik dan lima kolej komuniti.
Fokus utama bengkel adalah perbincangan dan pengumpulan data bagi Fasa Kedua pelaksanaan pelan strategik, iaitu Fasa Pengukuhan, yang bertujuan memperkukuh pelaksanaan dasar dan inisiatif pemartabatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan komitmen dan tanggungjawab bersama IPTA untuk memperkukuh peranan Bahasa Melayu dalam bidang keilmuan dan pendidikan tinggi negara.
UMPSA diwakili oleh Hamizah Zahari, Guru Bahasa Kanan juga ahli jawatankuasa Pemerkasaan Bahasa Melayu di IPT (MALDEC) yang memantau pelaksanaan pelan khususnya di PBM UMPSA. Beliau hadir bagi pihak Pegawai Fokal UMPSA, Prof. Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Dekan Pusat Bahasa Moden merangkap Pengerusi Majlis Dekan Bahasa Universiti Awam (MALDEC).
UMPSA turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima penarafan empat bintang dalam Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA bagi tahun 2024. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasa Bahasa Melayu di peringkat universiti dan nasional.
UMPSA akan terus melaksanakan usaha secara agresif dan strategik bagi meningkatkan lagi prestasi serta penarafan pelan ini dalam tahun-tahun akan datang, sejajar dengan aspirasi negara memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wahana pembangunan tamadun.
Disediakan oleh: Hamizah Zahari & Prof. Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi