UMPSA PERKUKUH KERJASAMA ANTARABANGSA MELALUI LAWATAN HOCHSCHULE MANNHEIM
13 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila menerima lawatan rasmi daripada wakil Hochschule Mannheim, Jerman, Prof. Dr. Stephan M. Altmann di Fakulti Pengurusan Industri (FIM).
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik dalam memperkasa kolaborasi akademik antara kedua-dua institusi, khususnya dalam pelaksanaan program dual degree yang memberi nilai tambah kepada pelajar.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu melibatkan penyertaan pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 bagi program Ijazah Dual Kejuruteraan Perniagaan (Business Engineering) dan Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering). Bagi memastikan penglibatan menyeluruh, pelepasan kuliah turut diberikan kepada pelajar terlibat.
Sepanjang sesi tersebut, para pelajar berpeluang mendengar perkongsian secara langsung daripada Prof. Dr. Altmann mengenai pengalaman pembelajaran di Jerman, struktur program akademik di Hochschule Mannheim serta peluang mobiliti antarabangsa yang ditawarkan.
Selain itu, sesi interaksi dua hala turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengemukakan soalan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan peluang melanjutkan pengajian di peringkat global.
Menurut pihak fakulti, program seperti ini amat penting dalam menyediakan pelajar dengan pendedahan awal terhadap persekitaran akademik antarabangsa serta meningkatkan keyakinan mereka untuk bersaing di peringkat global.
Lawatan ini juga mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik antarabangsa demi melahirkan graduan berdaya saing dan berpengetahuan global.
Disediakan oleh: Amir Haikal Imran