UMPSA PERKUKUH KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN BAHASA DI ICARLL 2026
GEORGETOWN, 6 Mei 2026 – Tiga guru bahasa daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai persidangan sulung International Conference on Action Research on Language Learning (ICARLL 2026) anjuran Universiti Sains Malaysia yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 6 hingga 7 Mei 2026. Persidangan ini disertai tiga staf dari Pusat Bahasa Moden iaitu Mohammad Baihaqi bin Hasni, Shamsul bin Harbi serta Mohd Shafiq bin Abdul Jabar.
Persidangan antarabangsa tersebut menghimpunkan para akademik, penyelidik dan pengamal pendidikan dari pelbagai institusi bagi membincangkan perkembangan terkini dalam penyelidikan tindakan serta pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Salah seorang wakil guru bahasa UMPSA, Mohd Shafiq bin Abdul Jabar, telah membentangkan kajian berkaitan usaha meningkatkan prestasi pembentangan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kajian tersebut menumpukan kepada penggunaan amalan berstruktur dan maklum balas rakan sebaya dalam meningkatkan kemahiran komunikasi lisan pelajar. Pembentangan beliau mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta dan hadirin yang hadir, sekali gus membuka ruang perbincangan yang aktif mengenai pembangunan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar TVET.
Sementara itu, seorang lagi wakil guru Bahasa UMPSA, Mohammad Baihaqi bin Hasni, telah membentangkan kajian yang memfokuskan kepada isu kesalahan transliterasi nama dalam bahasa Arab. Kajian tersebut mengetengahkan kepentingan ketepatan transliterasi dalam konteks akademik dan dokumentasi rasmi. Hasil pembentangan yang berkualiti serta sumbangan signifikan kajian tersebut telah membolehkan beliau meraih Tempat Ketiga bagi Kategori Pembentangan Terbaik dalam persidangan berkenaan.
Penyertaan aktif guru bahasa UMPSA dalam persidangan bertaraf antarabangsa ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan dan perkongsian ilmu di peringkat global. Selain membentangkan hasil penyelidikan, persidangan ini turut menjadi platform untuk menjalin kerjasama akademik dan profesional dengan para penyelidik dari dalam dan luar negara.
Kejayaan yang dicapai oleh guru bahasa UMPSA dalam ICARLL 2026 diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada warga universiti untuk terus menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi impak kepada bidang pendidikan, bahasa dan pembangunan modal insan negara.
Disediakan oleh: Mohd Shafiq Abdul Jabar & Shamsul Harbi