PBM UMPSA DOMINASI CHINESE BRIDGE 2026 DENGAN GELARAN JOHAN DAN JURULATIH TERBAIK
KUALA LUMPUR, 9 Mei 2026 – Wakil Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Afeef Hamizan Mohd Huzaizi, muncul johan keseluruhan The 25th Chinese Bridge – Chinese Language Proficiency Competition for Malaysian University Students sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa di China.
Kejayaan itu turut menyaksikan guru bahasa Mandarin Pusat Bahasa Moden (PBM), Leong Hui Theng, menerima Anugerah Jurulatih Terbaik atas komitmen dan dedikasinya membimbing Afeef Hamizan sepanjang persediaan pertandingan.
Pertandingan anjuran Institut Kong Zi Universiti Malaya (KZIUM) itu menghimpunkan 25 peserta daripada 16 institusi pengajian tinggi awam, swasta dan kolej dari seluruh negara. Para peserta dinilai menerusi beberapa komponen termasuk kuiz bahasa dan budaya Cina, pidato bertemakan One World, One Family, persembahan bakat serta pidato spontan.
UMPSA turut diwakili oleh Jiveetha a/p Ravi, pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP). Beliau dibimbing oleh Yong Ying Mei, manakala Afeef Hamizan menerima bimbingan daripada Leong Hui Theng.
Kedua-dua peserta mempamerkan penguasaan bahasa Mandarin yang baik serta persembahan yang meyakinkan sepanjang pertandingan. Jiveetha memukau penonton menerusi persembahan tarian tradisional Cina yang anggun, manakala Afeef Hamizan menyerlah dalam segmen persembahan bakat apabila menggabungkan lagu rakyat Cina “Slow Slow Tune” dengan elemen kesusasteraan.
Persembahan Afeef Hamizan turut diperkaya dengan puisi bertajuk “Impian” hasil ciptaan Leong Hui Theng, yang berjaya menambahkan nilai artistik dan meninggalkan kesan kepada para juri serta penonton.
Kecemerlangan Afeef Hamizan diteruskan dalam pusingan akhir pidato spontan yang hanya melibatkan lima peserta terbaik. Dalam pidato bertajuk “Satu Ungkapan Bahasa Mandarin yang Mengubah Hidup Saya,” beliau berkongsi pengalaman sepanjang menjalani latihan serta ungkapan motivasi yang menjadi pegangan dalam menghadapi cabaran pertandingan.
Penyampaian yang penuh penghayatan dan keyakinan itu berjaya memikat hati juri sekali gus melayakkannya dinobatkan sebagai johan keseluruhan pertandingan.
Di sebalik kejayaan tersebut, kedua-dua guru pembimbing telah melaksanakan latihan intensif yang merangkumi aspek sebutan, intonasi, pengucapan pidato, kuiz budaya, persembahan pentas dan simulasi pertandingan. Sesi latihan yang dijalankan secara konsisten, termasuk pada hujung minggu, membantu meningkatkan keyakinan serta mutu persembahan peserta.
Kejayaan yang diraih bukan sahaja membuktikan kemampuan pelajar UMPSA untuk bersaing di peringkat kebangsaan, malah menyerlahkan keberkesanan bimbingan tenaga pengajar PBM dalam membangunkan bakat pelajar dalam bidang bahasa asing dan komunikasi antara budaya.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen PBM dalam memperkukuh penguasaan bahasa asing dan melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi UMPSA untuk menghasilkan graduan yang cemerlang serta yakin berkomunikasi di pentas global.
Di sebalik setiap kejayaan,
ada usaha yang tidak dilihat,
ada bimbingan yang tidak pernah putus,
dan ada keyakinan yang akhirnya mengubah impian menjadi kenyataan.
Disediakan oleh: Leong Hui Theng & Yong Ying Mei