UMPSA PERKASA BAHASA MELAYU MELALUI PROGRAM SULAM
TEMERLOH, 18 Mei 2026 – Program SULAM Meriah Bahasa Melayu 2026 telah berlangsung dengan jayanya di SJK(T) Ladang Lanchang, Temerloh, Pahang.Program ini merupakan inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bagi kursus ULB1312 Bahasa Melayu Komunikasi yang melibatkan pelajar antarabangsa UMPSA serta dibantu oleh pelajar tempatan yang mengikuti kursus ULB3712 Bahasa Melayu Dokumentasi. Melalui program ini, para pelajar berpeluang mengaplikasikan pembelajaran di dalam bilik kuliah secara langsung bersama komuniti, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna dan berimpak tinggi.
Program ini menekankan aspek komunikasi bahasa Melayu serta penglibatan pelajar antarabangsa dalam mendekati masyarakat setempat melalui aktiviti silang budaya. Pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar antarabangsa meningkatkan keyakinan berkomunikasi dalam bahasa Melayu, malah membuka ruang kepada murid-murid sekolah untuk berinteraksi dengan pelajar daripada pelbagai negara dan latar budaya.
Pelbagai aktiviti berbentuk permainan bahasa, komunikasi asas dan perkongsian budaya telah dijalankan dengan penuh meriah dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada murid sekolah. Suasana program menjadi lebih hidup apabila murid-murid memberikan respons yang aktif, mencuba tugasan yang disediakan dan berani berkomunikasi bersama fasilitator UMPSA.
Pelajar SJK(T) Ladang Lanchang sebagai komuniti sasaran telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang program berlangsung menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan pembelajaran bahasa yang dijalankan. Penglibatan mereka jelas menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa Melayu dapat dilaksanakan secara lebih menarik apabila digabungkan dengan elemen permainan, komunikasi sebenar dan perkongsian budaya.
Menurut Guru Besar SJK(T) Ladang Lanchang, Puan Vasantah a/p Nadasan, pihak sekolah berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana memberi impak yang positif kepada murid-murid. Beliau turut menyatakan bahawa program ini memberi peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu.
Selain memberi manfaat kepada murid sekolah, program ini turut menjadi platform penting kepada pelajar UMPSA untuk mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan kepekaan terhadap komuniti. Pengalaman turun ke lapangan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui ilmu dan khidmat bakti.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pengarah Projek, Cik Jamilah Bebe Mohamad dari Pusat Bahasa Moden, para pelajar tempatan dan antarabangsa UMPSA bagi kursus ULB1312 Bahasa Melayu Komunikasi dan ULB3712 Bahasa Melayu Dokumentasi, warga SJK(T) Ladang Lanchang selaku komuniti sasaran, Pejabat Strategik dan Perkembangan Akademik UMPSA, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Semoga program berteraskan bahasa dan silang budaya seperti ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, memperkukuhkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar pelbagai latar belakang serta menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Program seperti ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan UMPSA dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti serta memupuk kecintaan terhadap Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
Disediakan oleh: Nor Suhardiliana Sahar & Jamilah Bebe Mohamad