Official Website    

PELAJAR UMPSA KOHORT PERTAMA MENDUDUKI PEPERIKSAAN BAHASA JERMAN TAHAP B1 DI GOETHE-INSTITUT, KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Buat julung kalinya, seramai 15 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) daripada Program Business Engineering di bawah Dual Degree bersama Mannheim University of Applied Sciences (HMA), Jerman telah menduduki peperiksaan Bahasa Jerman tahap B1 yang dianjurkan oleh Goethe-Institut, Kuala Lumpur.

Kumpulan ini merupakan kohort pertama bagi Program Business Engineering Dual Degree tersebut, sekali gus menjadikan penyertaan mereka dalam peperiksaan ini sebagai satu pencapaian awal yang penting dalam laluan akademik antarabangsa program berkenaan.

Para pelajar ini merupakan sebahagian daripada program pengajian antarabangsa yang melibatkan kerjasama strategik antara UMPSA dan institusi pendidikan di Jerman, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan perniagaan.

Penyertaan dalam peperiksaan ini merupakan sebahagian daripada persediaan akademik dan profesional pelajar bagi memastikan mereka mencapai tahap kemahiran bahasa yang diperlukan untuk pengajian serta latihan industri di Jerman.

Peperiksaan Bahasa Jerman tahap B1 merangkumi empat komponen utama, iaitu membaca (Lesen), menulis (Schreiben), mendengar (Hören), dan bertutur (Sprechen). Tahap ini menunjukkan keupayaan pelajar untuk berkomunikasi secara berdikari dalam situasi harian, akademik, serta persekitaran kerja asas dalam konteks antarabangsa.

Usaha dan komitmen para pelajar UMPSA dalam menguasai bahasa asing ini mencerminkan kesungguhan mereka untuk bersaing di peringkat global. Selain meningkatkan kebolehpasaran graduan, penguasaan Bahasa Jerman turut membantu pelajar menyesuaikan diri dengan budaya, sistem pendidikan dan persekitaran kerja di Jerman dengan lebih berkesan.

Pihak universiti berharap pencapaian ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus mempertingkatkan kemahiran bahasa dan profesionalisme, selaras dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran