UMPSA NEXUS NIGHT 2025: 15 TAHUN JALINAN KERJASAMA MALAYSIA DENGAN JERMAN
KUANTAN, 7 November 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan UMPSA NEXUS Night: 15 Years of German Collaboration bertempat di Zenith Hotel, Kuantan. Majlis ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-15 jalinan kerjasama strategik antara UMPSA dan institusi pengajian tinggi Jerman, yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pendidikan teknikal, kejuruteraan dan hubungan akademik antarabangsa.
Majlis yang berlangsung dari 8:00 malam hingga 10:30 malam ini menghimpunkan alumni universiti Jerman, ahli akademik, wakil industri, dan rakan strategik antarabangsa, dalam suasana penuh keakraban dan semangat kolaborasi. Kehadiran alumni yang pernah menimba ilmu di Jerman menjadi simbol jalinan erat antara kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan pendidikan, teknologi dan budaya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah guru bahasa Jerman UMPSA, Amir Haikal Imran bin Ahmad Ashaari, bersama sepuluh orang pelajar dari kursus ULG2643 (German B1.2) yang terdiri daripada program Kejuruteraan Perniagaan dan Kejuruteraan Kimia. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen UMPSA dalam memupuk minat serta kefahaman terhadap bahasa dan budaya Jerman dalam kalangan pelajar, sekali gus memperkukuh persediaan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti rakan di Jerman di bawah program dwi-ijazah.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah binti Alias, dalam ucapannya menegaskan bahawa jalinan UMPSA dengan Jerman telah melahirkan ramai graduan berkualiti tinggi yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor industri dan penyelidikan. Beliau turut menyatakan bahawa majlis NEXUS Night bukan sahaja platform meraikan kejayaan lalu, tetapi juga wadah untuk memperkukuh rangkaian alumni antarabangsa serta membuka peluang baharu dalam penyelidikan dan inovasi industri.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj 15 Years of German Collaboration, persembahan kebudayaan, serta sesi jaringan profesional antara alumni dan wakil industri Jerman. Para tetamu kemudiannya diraikan dalam jamuan makan malam rasmi yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh penghargaan.
Penganjuran UMPSA NEXUS Night ini membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh hubungan akademik dan diplomatik antarabangsa, khususnya dengan Jerman yang terkenal dengan sistem pendidikan teknikal dan kejuruteraan bertaraf dunia. Ia juga menjadi platform penting dalam menyemai semangat global dalam kalangan warga UMPSA dan memperkukuh reputasi universiti sebagai institusi teknikal unggul yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Disediakan oleh: Amir Haikal Imran