Official Website    

UMPSA PERLUAS KERJASAMA AKADEMIK ANTARABANGSA DAN PERKENAL BAHASA SEPANYOL DI BANDUNG, INDONESIA

INDONESIA, 22 Oktober 2025 – Seramai 10 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada ahli Kelab Bahasa Sepanyol (ESPANSIA) telah berjaya melaksanakan Program Mobiliti Antarabangsa ESPANSIA AI Quest di Universitas Islam Nusantara (UNINUS), Bandung, Indonesia, dari 17 hingga 22 Oktober 2025.

Dipimpin oleh Penasihat Kelab Bahasa Sepanyol, Puan Azlina binti Mohd Ariffin, program ini berperanan memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa serta memperkenalkan Bahasa Sepanyol kepada warga UNINUS melalui sesi interaktif dan perkongsian budaya yang bermakna.

Dalam tempoh lima hari pelaksanaan, para peserta bukan sahaja mengikuti kursus bahasa dan teknologi, malah turut melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Masjid Raya Bandung dengan menyampaikan sumbangan Surah Yasin kepada jemaah setempat. Lawatan budaya ke beberapa lokasi bersejarah dan ikonik di sekitar kota Bandung turut memperkayakan pengalaman antarabangsa mereka, sekali gus menyerlahkan nilai ilmu, budaya dan kemanusiaan yang menjadi teras program ini.

Antara perkara penting program ini ialah penganugerahan pensijilan kompetensi antarabangsa daripada UNINUS yang mengiktiraf keupayaan pelajar UMPSA dalam penguasaan bahasa berasaskan teknologi moden. Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendalami pendekatan pendidikan berteraskan teknologi, malah turut memperkukuh hubungan akademik dua hala antara UMPSA dan UNINUS ke arah kolaborasi pendidikan bertaraf global. Selain itu, program ini turut memperluas ruang kerjasama akademik dan mobiliti antarabangsa antara kedua-dua institusi ke arah pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) dalam bidang bahasa dan penyelidikan rentas budaya.

Usaha ini secara tidak langsung memperkasa kemahiran komunikasi pelajar di samping memupuk nilai kepimpinan, empati sosial dan kepekaan budaya dalam kalangan mahasiswa UMPSA.

“Program ini membuktikan bahawa pembelajaran bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi jambatan untuk membina hubungan antarabangsa yang harmoni berteraskan ilmu dan nilai kemanusiaan,” ujar Puan Azlina binti Mohd Ariffin, Penasihat Kelab Bahasa Sepanyol UMPSA.

Program ini selaras dengan aspirasi UMPSA untuk memperkasa jaringan antarabangsa serta melahirkan graduan global yang berdaya saing, berinovatif dan berjiwa kepimpinan sejagat.

 

Disediakan oleh: Azlina binti Mohd Ariffin