STAF PBM SERTAI AKTIVITI SUKAN BOLING PADANG (LAWN BOWLS) ANJURAN PENERBIT UMPSA
PEKAN, 25 Jun 2025 – Sekumpulan staf dari Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai aktiviti santai sukan boling padang anjuran Penerbit UMPSA bertempat di Pusat Sukan UMPSA kampus Gambang. Program ini bertujuan untuk memupuk amalan gaya hidup sihat sambil memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga kampus.
Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat dan demonstrasi teknik permainan oleh fasilitator berpengalaman sebelum para peserta mula mencuba permainan ini secara santai. Boling padang, atau lawn bowls, merupakan sukan warisan dari England yang kini semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana sifatnya yang santai namun mencabar dari segi strategi dan ketepatan.
Selain menyerlah sebagai sukan rekreasi, boling padang turut memberi manfaat saintifik yang signifikan dari segi kesihatan fizikal dan kognitif. Pergerakan semasa permainan membantu meningkatkan keseimbangan, koordinasi motor halus, serta ketangkasan otot tanpa membebankan sendi, menjadikannya sesuai untuk pelbagai peringkat umur (Chodzko-Zajko et al., 2009). Dari sudut neuropsikologi, permainan ini merangsang fokus, perancangan strategik, dan membuat keputusan yang penting untuk kecergasan mental.
Kajian turut menunjukkan bahawa penglibatan dalam aktiviti fizikal secara berkumpulan boleh mengurangkan tahap kortisol (hormon stres), meningkatkan hormon endorfin, serta memperbaiki kesejahteraan emosi dan sosial (World Health Organization [WHO], 2010). Oleh itu, boling padang bukan sahaja menjadi wadah interaksi sosial, malah berfungsi sebagai intervensi holistik untuk kesihatan menyeluruh dalam persekitaran kerja berintensiti tinggi.
Seiring dengan penganjuran Sukan Inter-PTJ yang akan berlangsung tidak lama lagi, ramai yang menjadikan sesi sukan kali ini sebagai latihan persediaan mereka. Penerbit UMPSA merancang untuk meneruskan inisiatif seperti ini secara berkala dengan penglibatan lebih banyak jabatan pada masa akan datang.Terima kasih dan tahniah diucapakan kepada staf PBM yang melibatkan diri dengan aktiviti gaya hidup sihat – boling padang. Sekalung penghargaan juga kepada Penerbit UMPSA atas penganjuran sesi kali ini.
Bola bergolek tak kena hala,
Rakan bersorak gelak bersama.
Menang kalah adat bertanding,
Yang penting sihat, ceria berpanjangan.
Bersukan santai hati pun tenang,
Ukhuwwah terjalin tak kira masa,
Penerbit UMPSA terus cemerlang,
Warga kerja bersukan, sihat sentiasa.
Rujukan
Chodzko-Zajko, W. J., Proctor, D. N., Fiatarone Singh, M. A., Minson, C. T., Nigg, C. R., Salem, G. J., & Skinner, J. S. (2009). Exercise and physical activity for older adults. Medicine & Science in Sports & Exercise, 41(7), 1510–1530. https://doi.org/10.1249/MSS.0b013e3181a0c95c
World Health Organization. (2010). Global recommendations on physical activity for health. https://www.who.int/publications/i/item/9789241599979
Disediakan oleh: Amir Haikal Imran Bin Ahmad Asha’ari & Jamilah Bebe Mohamad