SESI “KECERIAAN BERIMPAK: MAGIS BAHAN TERPAKAI” DI PUSAT BAHASA MODEN
PEKAN, 16 Julai 2025 – Satu sesi perkongsian ilmu bertemakan “Keceriaan Berimpak: Magis Bahan Terpakai” telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertempat di Bilik Mesyuarat Fakulti Aras 1, PBM, UMPSA Pekan, bersempena Minggu EKSA x KKP x Sukan PBM 2025. Sesi ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan kreativiti dan inovasi menerusi amalan kitar semula dan kelestarian dalam kalangan warga PBM.
Program yang menampilkan Puan Azimah binti Mohamed, Guru Seni Reka dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan merangkap alumni Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dengan Kepujian dari Universiti Teknologi MARA sebagai penceramah jemputan. Beliau berkongsi pelbagai inspirasi dan teknik kreatif menggunakan bahan terpakai dalam menghias ruang kerja.
Antara pengisian utama termasuk pengenalan kepada konsep asas kitar semula, peranan Unit Kreativiti dan Inovasi di bawah inisiatif Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), serta cadangan projek seni berimpak menggunakan bahan seperti plastik, kaca, kertas dan aluminium. Idea seperti pasu bunga tergantung, pagar kaca hiasan, pemegang tisu dari kotak terpakai, dan bakul surat khabar mendapat perhatian kerana nilai estetik dan praktikalnya.
Puan Azimah turut memperkenalkan prinsip pemilihan warna berasaskan nisbah 60:30:10 sebagai panduan untuk mewujudkan suasana ruang yang seimbang dan harmoni. Dalam pendekatan ini, 60% warna digunakan sebagai latar dominan, 30% untuk elemen sokongan, manakala 10% warna aksen berperanan menyerlahkan ruang secara visual. Prinsip ini membantu mencipta persekitaran kerja yang bukan sahaja ceria, malah profesional dan kondusif untuk warga kerja berimej korporat.
Menurut Rosnani Ismail, salah seorang peserta program, sesi tersebut telah membuka perspektif baharu mengenai potensi bahan terpakai. “Saya tidak sangka barang-barang yang biasa kita anggap sampah sebenarnya boleh dijadikan hiasan yang sangat cantik dan berfungsi. Ia juga boleh menjimatkan kos dan pada masa sama menaikkan seri dan imej jabatan kita,” katanya.
Program ini berjaya mencetuskan minat dalam kalangan warga PBM terhadap inovasi kitar semula sebagai medium memperindah persekitaran dan memupuk budaya kerja lestari. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi UMPSA dalam memperkukuh pelaksanaan EKSA melalui pendekatan yang kreatif, berimpak dan mesra alam. Semoga dengan perkongsian ini warga PBM akan menyahut cabaran menyertai pertandingan Video Projek Inovasi Kitar Tinggi bertemakan Hiasan Dinding yang sedang berlansung ketika ini. Bak kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” menunjukkan kreativiti dan usaha berterusan pasti membuahkan hasil yang memberi impak besar kepada komuniti kerja dan alam sekitar.
Disediakan oleh: Muhamad Aizat Zulkifli, Jamilah Bebe Mohamad & Hanisah Kasbon