Official Website    

WEBINAR ERGONOMIK PEJABAT PERKASA KESEDARAN GAYA KERJA SIHAT DALAM KALANGAN WARGA PUSAT BAHASA MODEN

18 Julai 2025 – Isu kesihatan akibat gaya kerja statik di pejabat bukan perkara yang remeh. Menyedari kepentingan penjagaan postur dan keselesaan ketika bekerja, seramai 86 orang staf akademik dan bukan akademik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Webinar Ergonomik Pejabat anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Bahasa Moden (PBM). Program ini telah berlangsung secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams. 

Webinar bertajuk "Sakit-sakit badan bukan biasa. Ketahui langkah pencegahan melalui ergonomik pejabat" ini menampilkan Dr Noraini Mohd Saad, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pra-Warta) dari Pusat Kesihatan Daerah Kuantan, yang berkongsi pelbagai tip praktikal dan ilmu kesihatan berkaitan ergonomik di tempat kerja. 

Antara fokus utama webinar ialah cara duduk yang betul, penyesuaian stesen kerja yang ergonomik, serta langkah-langkah mudah untuk mengelakkan sakit badan biasa yang dihadapi oleh pekerja pejabat akibat posisi kerja yang tidak sesuai. 

Menurut Dr Noraini, ramai pekerja tidak sedar bahawa masalah kesihatan mereka berpunca daripada postur yang salah dan susun atur tempat kerja yang tidak mesra tubuh. Dengan penyesuaian mudah seperti ketinggian kerusi dan kedudukan skrin komputer, banyak masalah boleh dicegah lebih awal. 

Sesi turut mendapat sambutan hangat daripada para peserta dengan soal jawab melibatkan pelbagai pertanyaan, termasuk berkaitan rawatan alternatif untuk masalah fizikal akibat kerja pejabat. Peserta juga berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan keselesaan kerja dan amalan kerja sihat. 

Seorang pensyarah dari Pusat Bahasa Moden, Siti Norzaimalina binti Abd Majid, menyatakan bahawa sesi ini menimbulkan kesedaran diri. 

“Antara ilmu baharu yang saya perolehi ialah cara saya duduk ketika membuat kerja harian di stesen kerja. Ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan. Webinar ini membuka mata saya untuk membuat penyesuaian kecil yang boleh membawa perubahan besar kepada kesihatan saya secara amnya,” ujarnya. 

Penganjuran webinar ini adalah sejajar dengan komitmen Unit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Pusat Bahasa Moden untuk memantau kesejahteraan warga kerjanya, khususnya dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Program ini diharapkan dapat meningkatkan amalan kerja yang lebih sihat dan produktif dalam kalangan staf UMPSA. 

 

Disediakan oleh: Hamizah Zahari, Siti Ainun Jariyah Hassan & Nurul Syazwani Aziz