Official Website    

SATU PASUKAN, SATU PENDAKIAN: PBM DI PUNCAK BUKIT SULAI

Bukit Sulai, Gambang, 26 Jun 2025 – Setiap langkah mencoret kisah persahabatan yang terjalin, semangat yang diuji, dan memori indah yang kekal abadi dalam ingatan. Begitulah pengalaman yang bermakna dikongsikan oleh enam (6) orang staf dari Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menyertai ekspedisi Bukit Sulai anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA). 

Ekspedisi ini bermula seawal jam 8 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gambang. Semua staf UMPSA harus berkumpul dahulu di sini sebelum mendaki ke atas. Sebelum pendakian bermula, para peserta terlebih dahulu menjalani aktiviti pemanasan badan secara berkumpulan yang diketuai oleh wakil penganjur. Dengan laluan berbukit yang dikelilingi pepohon hijau, para peserta melangkah perlahan-lahan, sesuai mengikut rentak masing-masing sambil menikmati keindahan alam yang menyegarkan. Cuaca redup sepanjang pagi menambah keselesaan dalam pendakian yang mengambil masa antara 30 hingga 40 minit, bergantung pada tahap kecergasan individu. 

Dalam pada itu, terdapat peserta yang sangat teruja dan bersemangat mendaki bukit. 

“Saya memang tak sabar nak sampai ke puncak kerana ini merupakan pertama kali saya akan mendaki Bukit Sulai. Seronok sangat bila tengok suasana sekeliling, rasa segar dan tenang. Syukur sampai lebih awal daripada yang dijangka,” kata Amir Haikal, staf baharu di PBM. Beliau menganggap pendakian ini sebagai satu pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan. 

Setibanya di puncak, segala penat lelah yang dirasai sepanjang pendakian seolah-olah hilang begitu sahaja apabila para peserta disambut dengan pemandangan indah yang terbentang luas seperti bukit-bukau menghijau, langit terbuka biru dan udara segar yang menyegarkan minda serta tubuh. Ramai mengambil peluang ini untuk bergambar, berehat sebentar dan menikmati suasana yang jarang dapat dialami di persekitaran kerja biasa. 

Penglibatan PBM dalam aktiviti ini jelas memperlihatkan bagaimana aktiviti luar seperti pendakian boleh menjadi medium yang berkesan untuk menjalin kerjasama antara jabatan. Melalui interaksi santai dan suasana semula jadi yang menyegarkan, wujud ruang perbualan dan pemahaman antara staf pelbagai latar belakang yang mungkin jarang berpeluang bertemu dalam konteks kerja rasmi. Inilah kekuatan networking yang terbina secara organik iaitu membina jaringan profesional, memperkukuh solidariti dan menyemai rasa kebersamaan sebagai satu komuniti UMPSA. 

Bukit Sulai di Gambang bukan sekadar lokasi riadah, tetapi kini menjadi lokasi riadah yang mempererat hubungan antara warga universiti. Dengan setiap langkah mendaki, terbina bukan hanya kekuatan fizikal, tetapi juga jaringan sosial yang lebih utuh dan merupakan sebuah pelaburan jangka panjang dalam membentuk budaya kerja yang lebih inklusif, sihat dan saling menyokong. 

Mendaki bukit tubuh diuji, 
Angin bertiup sejuk sentiasa, 
Eratkan silaturahim sesama insani, 
Kuatkan tekad, kukuhkan kerjasama. 

Mendaki bukit penuh semangat, 
Diiringi redup mentari pagi, 
Sukan jadikan ukhuwah erat, 
Warga UMPSA bersatu hati. 

 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran Ahmad Ashaari, Leong Hui Theng & Jamilah Bebe Mohamad.