Official Website    

JABATAN BAHASA ASING PERKUKUH KOMITMEN AKADEMIK MELALUI MESYUARAT COM DAN PRE-JPF

PEKAN, 10 Julai 2025 — Jabatan Bahasa Asing, Pusat Bahasa Moden (PBM) terus memperkukuh komitmennya terhadap kecemerlangan akademik menerusi penganjuran Mesyuarat Confirmation of Marks (COM) dan Mesyuarat Pre-JPF bertempat di Bilik Mesyuarat (Aras 1), Bangunan PBM, Kampus Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan. Mesyuarat ini merangkumi kursus-kursus di bawah program Ijazah Dual (Dual-degree) dan Ijazah Sarjana Muda bagi Semester 2 serta Program Asasi Sains dan Teknologi bagi Semester 3, Sesi 2024/2025. 

Mesyuarat ini menghimpunkan penyelaras kursus bagi bahasa Arab, Jepun, Jerman, Korea, Mandarin, Sepanyol dan Melayu menjadikan sesi ini sebagai platform penting untuk menyelaras penilaian, menyemak keberkesanan pengajaran dan penambahbaikan dalam pengajaran bahasa asing dan bahasa ibunda. 

“Mesyuarat ini bukan sekadar proses semakan markah, namun adalah satu ruang strategik untuk kami menyelaraskan standard penilaian dan berkongsi pandangan secara terbuka.” ujar Dr. Wan Jumani Fauzi, Ketua Program Jabatan Bahasa Asing. Beliau menekankan bahawa kerjasama yang erat antara penyelaras dan pengajar memainkan peranan penting dalam menjamin keadilan dan konsistensi pemarkahan. 

Antara objektif mesyuarat ini termasuk membincangkan prestasi pelajar berdasarkan data dan mencadangkan penambahbaikan kursus secara berfasa. Lebih penting lagi, mesyuarat ini memberi peluang kepada pengajar untuk memahami rasional di sebalik setiap keputusan yang dibuat iaitu satu aspek penting dalam menjamin akauntabiliti dalam pengajaran. 

Bagi penyelaras kursus ULK1312 (Bahasa Korea A1), Puan Zatul Amrah Mohammad Nazri, mesyuarat seperti ini penting untuk memastikan kaedah penilaian dilaksanakan secara adil. “Mesyuarat ini juga memberi kami peluang untuk menilai pendekatan pengajaran seperti apa yang berkesan dan apa yang perlu diperbaiki.” katanya. 

Di samping itu, penyelaras kursus UHF1141 (Bahasa Arab Asas), Puan Mardhiyyah Zamani turut berkongsi pandangan bahawa mesyuarat ini berperanan sebagai medan refleksi. “Kita bukan sahaja meneliti hasil pelajar, tetapi juga berkongsi cabaran di dalam bilik kuliah. Ini membantu kami merancang strategi pengajaran yang lebih relevan.” ujarnya. 

Mesyuarat ini berakhir pada pukul 5:00 petang. Mesyuarat ini menunjukkan bahawa setiap pengajar bukan sahaja menekankan aspek pemarkahan, tetapi juga penting dalam membentuk sistem pengurusan akademik yang progresif. 

Jabatan Bahasa Asing akan terus melangkah ke hadapan dengan strategi yang berpaksikan keperluan pelajar. Dengan kerjasama antara penyelaras dan pengajar, jabatan ini optimis untuk menyediakan pengalaman pembelajaran bahasa asing yang lebih relevan dan berimpak kepada seluruh pelajar UMPSA. 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng dan Mahzaton Aqma Abu Talip