Official Website    

SELAMAT DATANG KEPADA SEMUA PELAJAR SEMESTER PERSEDIAAN SESI 2026/2027 DAN SEMESTER PENDEK SESI 2025/2026

PEKAN, 22 Julai 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), mengalu-alukan kehadiran pelajar untuk memulakan Semester Persediaan Sesi 2026/2027 serta Semester Pendek Sesi 2025/2026. Permulaan semester baharu ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha PBM memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran komunikasi pelajar sebagai persediaan ke arah kecemerlangan akademik serta kebolehpasaran graduan.

Semester Persediaan merupakan pengalaman akademik pertama bagi pelajar diploma yang baharu mendaftar. Melalui semester ini, pelajar diberikan asas yang kukuh dalam penguasaan bahasa Inggeris sebelum mengikuti program pengajian masing-masing. Pada masa yang sama, Semester Pendek memberi peluang kepada pelajar sedia ada untuk melengkapkan keperluan akademik di samping terus meningkatkan kecekapan berbahasa.

Bagi Semester Persediaan kali ini, sebanyak 31 seksyen kursus ULE1212 Essential English dikendalikan oleh tenaga pengajar PBM yang berpengalaman. Kursus ini dirangka untuk memperkukuh kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis pelajar pada tahap CEFR B1, di samping menyediakan sokongan akademik yang berterusan sepanjang semester.

Sepanjang mengikuti kursus ini, pelajar akan terlibat dalam pelbagai aktiviti pembelajaran komunikatif, mempelajari strategi pembacaan yang berkesan serta menghasilkan penulisan berbentuk perenggan dan esei secara tersusun. Pendekatan pembelajaran ini turut membantu pelajar berkomunikasi dengan lebih yakin dalam situasi akademik dan kehidupan seharian, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran pembelajaran di peringkat universiti.

Menurut Dekan Pusat Bahasa Moden, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, penguasaan bahasa Inggeris merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan yang mampu berkomunikasi dengan yakin, menyertai persekitaran akademik dan profesional secara berkesan serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. “Penguasaan bahasa Inggeris yang mantap amat penting dalam menyediakan pelajar untuk berkomunikasi dengan yakin, berfungsi secara efektif dalam persekitaran akademik dan profesional serta menghadapi cabaran masa hadapan. Dengan komitmen para pensyarah dan usaha berterusan dalam memperkasa amalan pengajaran, PBM kekal komited untuk membangunkan kompetensi bahasa yang diperlukan bagi memastikan kejayaan pelajar.”

Selain itu, pelajar juga akan terus mendapat manfaat daripada Reading Circle Programme (RCP) yang merupakan salah satu komponen penting dalam pembelajaran bahasa di PBM. Pada semester ini, aktiviti RCP akan dilaksanakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan bacaan sedia ada. Program ini bukan sahaja menggalakkan budaya membaca, malah membantu meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, memperkaya kosa kata serta mengukuhkan kemahiran komunikasi pelajar.

Sempena permulaan semester ini, PBM turut merakamkan penghargaan kepada semua pensyarah dan warga kerja yang sentiasa komited dalam menyampaikan pengajaran yang berkualiti serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Dedikasi, profesionalisme dan semangat mereka memainkan peranan penting dalam memastikan hasil pembelajaran kursus dapat dicapai dengan berkesan serta menjamin kelancaran permulaan semester.

PBM mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar Semester Persediaan dan Semester Pendek. Semoga semester baharu ini menjadi permulaan kepada perjalanan akademik yang cemerlang, dipenuhi pengalaman bermakna, pencapaian membanggakan dan pembangunan diri yang berterusan. Terima kasih juga diucapkan kepada seluruh warga pensyarah PBM atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mendidik dan membimbing pelajar ke arah kejayaan.

 

Disediakan oleh: Rosnani Ismail & Ezihaslinda Ngah