Official Website    

STAF PBM SERTAI MISI PENGHIJAUAN DI PANTAI SAUJANA BIRU

PEKAN, 30 Jun 2026 – Seramai 40 sukarelawan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) berganding bahu menjayakan Program Pemuliharaan Pesisiran Pantai menerusi aktiviti penanaman pokok di Pantai Saujana Biru, baru-baru ini. Daripada jumlah tersebut, lima warga Pusat Bahasa Moden (PBM) telah dipilih menyertai program berkenaan, iaitu Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali, Azimah Ahmad Zaki, Khairul Amri Abdul Aziz, Farah Liyana Ahmad A'azmey dan Leong Hui Theng.

Program anjuran Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu bertujuan memulihara kawasan pesisir yang terdedah kepada hakisan, di samping menyemai budaya kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Seawal pagi, para peserta yang lengkap dengan kelengkapan keselamatan bergerak ke kawasan penanaman bagi melaksanakan aktiviti secara bergotong-royong. Setiap sukarelawan memainkan peranan masing-masing, termasuk menggali lubang, mengangkut anak pokok, menyusun kedudukannya, membaja dan menyiram pokok yang baharu ditanam.

Semangat kerjasama yang dipamerkan bukan sahaja memastikan kelancaran aktiviti penanaman, malah mencerminkan nilai kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras budaya kesukarelawanan di UMPSA. Dalam sesi taklimat, pihak penganjur memaklumkan bahawa sebanyak 220 batang pokok rhu pantai (Casuarina equisetifolia) ditanam sepanjang program berlangsung. Pokok tersebut berperanan mengurangkan hakisan pantai, menstabilkan struktur tanah serta membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem pesisir. Usaha memelihara kawasan pesisir pantai memerlukan komitmen dan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat bagi memastikan khazanah alam terus dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.

Menurut Azimah, setiap pokok yang ditanam pada hari ini mungkin kelihatan kecil, namun suatu hari nanti akan menjadi benteng semula jadi yang mampu mengurangkan hakisan pantai serta memelihara biodiversiti."Setiap pokok yang ditanam hari ini mungkin kelihatan kecil, tetapi suatu hari nanti ia akan menjadi benteng semula jadi yang dapat mengurangkan hakisan pantai dan memelihara biodiversiti demi generasi akan datang," katanya.

Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar serta menggalakkan lebih ramai masyarakat menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam.Sementara itu, Farah Liyana berkata, penyertaannya dalam program tersebut bukan sahaja memenuhi tanggungjawab khidmat komuniti, malah memberinya peluang untuk menyumbang secara langsung kepada usaha memelihara alam sekitar.

"Melihat setiap anak pokok ditanam bersama-sama memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Walaupun sumbangan ini kecil, saya berharap anak pokok rhu pantai yang ditanam hari ini akan terus memberi manfaat kepada ekosistem pantai pada masa hadapan," ujarnya. Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 13, iaitu Tindakan terhadap Perubahan Iklim, menerusi usaha meningkatkan kawasan hijau, mengurangkan impak hakisan pantai serta memperkukuh daya tahan kawasan pesisir terhadap perubahan iklim.

Pemilihan Pantai Saujana Biru sebagai lokasi program juga amat bertepatan memandangkan kawasan tersebut merupakan antara lokasi yang sedang diberi perhatian dalam usaha pengawalan hakisan pantai di negeri Pahang. Menurut laporan Sinar Harian (2026), kerajaan negeri Pahang telah memohon peruntukan sebanyak RM850 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi melaksanakan projek pengawalan hakisan dan pemuliharaan pantai di beberapa lokasi strategik, termasuk Pantai Saujana Biru di Pekan.

Penyertaan staf PBM dalam program ini membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian serta membudayakan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warganya. Setiap anak pokok yang ditanam bukan sekadar menghijaukan landskap pesisir, malah menjadi simbol harapan ke arah pemeliharaan alam sekitar yang mampan demi kesejahteraan generasi akan datang.

 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng, Noraisah Nurul Fatwa Mohd Razali