Official Website    

PUSAT BAHASA MODEN DI KEJOHANAN BADMINTON INTER-PTJ UMPSA: SUKAN JADI PENYATU, MENANG SEKADAR BONUS

PEKAN, 29 Julai 2025 – Pasukan Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hadir dengan semangat kesukanan yang membara dalam Kejohanan Badminton Inter-PTJ UMPSA 2025. Kejohanan ini sertai oleh warga PBM dari pelbagai jawatan, penyertaan ini bukan sahaja menyemarakkan suasana kejohanan, malah menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim, melepaskan tekanan kerja, serta menyuburkan budaya gaya hidup sihat dalam kalangan staf.  

Pasukan badminton PBM dibarisi oleh staf pelbagai jawatan dan latar belakang yang mewakili jabatan dalam pelbagai kategori. Kategori perseorangan lelaki disertai oleh Shahanor Firdaus Ismail, manakala kategori perseorangan wanita ditandingi oleh Arulselvi A/P Uthayakumaran. Beregu lelaki pula digalas oleh gandingan mantap Muhammad Baihaqi Hasni dan Shamsul Harbi, manakala beregu wanita diwakili oleh pasangan dinamik Dr Ezihaslinda Ngah dan Dr Ruhil Amal Azmuddin serta Nurul Syazwani Aziz dan Nurul Farhana Zakaria. Seterusnya untuk kategori beregu campuran, gandingan serasi antara Siti Norzaimalina Abd Majid dan Muhamad Aizat Zulkifli berjaya menampilkan aksi bertenaga di gelanggang.  

Penyertaan aktif ini mencerminkan nilai teras UMPSA dalam membina komuniti kerja yang positif dan sejahtera. Kejohanan ini turut menyokong aspirasi universiti sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik UMPSA 2021–2025. Aktiviti ini juga selaras dengan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat yang dapat dikaitkan dengan usaha kerajaan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Badminton bukan sekadar sukan rekreasi. Kajian menunjukkan permainan ini membantu penghasilan hormon endorfin yang berperanan mengurangkan stres dan meningkatkan mood positif (Biddle & Asare, 2011). Di samping itu, menurut WHO (2020), aktiviti fizikal berintensiti sederhana seperti badminton dapat menurunkan risiko penyakit tidak berjangkit dan obesiti. Hal ini merupakan antara fokus utama dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang sedang giat diperkasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Sebagai sukan warisan yang dekat di hati rakyat Malaysia, badminton juga merupakan lambang kebanggaan negara. Kejayaan ikon negara seperti Dato’ Lee Chong Wei meletakkan Malaysia di peta dunia dan terus menginspirasi rakyat untuk kekal aktif dan berdaya saing. 

Menurut Pengurus Pasukan Badminton PBM, Arulselvi A/P Uthayakumaran, “Meskipun pasukan kami bukan dari kalangan pemain profesional, semangat juang dan komitmen yang ditunjukkan amat membanggakan. Saya percaya penyertaan ini bukan sekadar bersaing, tetapi menyemarakkan semangat kebersamaan, mengangkat imej jabatan dan membina budaya kerja yang lebih ceria di UMPSA.” 

Bagi Abdul Jalil Abdul Rahim pula, “Kami mungkin tidak menang di gelanggang, tetapi kami menang dari segi semangat, kenangan dan nilai kebersamaan. Ini pengalaman yang amat berharga.” Antara momen mencuit hati ialah apabila salah seorang pemain PBM terlepas raket sewaktu membuat smash namun tetap mendapat sorakan paling meriah dari pasukan Ultras PBM. Detik spontan ini mencerminkan semangat santai tetapi bersatu yang menjadi tunjang kekuatan pasukan PBM. 

Turut mencuri perhatian ialah komitmen kumpulan Ultras PBM yang bertindak sebagai tulang belakang pasukan. Mereka bukan sahaja memberi sorakan penuh semangat, tetapi juga memastikan aspek logistik seperti raket, air minuman dan jadual perlawanan dikendalikan dengan teratur. Kehadiran mereka menyemarakkan suasana kejohanan dan menjadi sumber motivasi kepada para pemain. 

Pihak PBM menyatakan komitmen untuk terus menyokong penyertaan warga kerja dalam acara seumpama ini demi kesejahteraan dan semangat berpasukan yang utuh. Semangat bersama, saling menyokong dan menjaga kesihatan fizikal serta mental adalah asas penting dalam membina pasukan kerja yang produktif dan harmoni  selaras dengan aspirasi UMPSA untuk menjadi sebuah institusi yang lestari, inklusif dan berdaya saing di peringkat global. 

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad & Amy Zulaikha Mohd Ali