Official Website    

PBM DI INTER-PTJ CATUR UMPSA 2025: BUKAN SEMUA CHECKMATE, TAPI BANYAK BELAJAR!

PEKAN, 31 Julai 2025 – Suasana di Dewan Peperiksaan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertukar meriah sebaik sahaja peserta berkumpul untuk Kejohanan Catur Antara Jabatan (Inter-PTJ) 2025 anjuran Pusat Sukan, UMPSA. Tepat jam 9.00 pagi, taklimat pertandingan dimulakan dan dewan seketika bertukar sunyi – tanda fokus minda-minda tajam yang bakal beradu strategi di papan catur. 

Tidak terkecuali, Pusat Bahasa Moden (PBM) turut mengambil bahagian dengan menghantar empat pemain wanita sebagai wakil pasukan iaitu Hanisah Bon (Kasbon), Nur Anisnabila Dianah, Nor Safura Nordin dan Leong Hui Theng. Hanisah dan Nur Anisnabila bukanlah nama asing dalam arena catur kerana pernah mewakili UMPSA di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2024, sekali gus menambah pengalaman berharga untuk dibawa ke kejohanan kali ini. 

Walaupun kejohanan ini berlangsung secara individu, kutipan mata setiap pemain digabungkan bagi menentukan kedudukan kumpulan. Pusingan pertama bermula pada jam 9.30 pagi dengan penuh debaran. Nur Anisnabila membuka langkah dengan kemenangan pantas iaitu hanya mengambil masa satu minit sebelum melakukan checkmate yang mencuri tumpuan ramai. Hanisah turut menampilkan permainan bertenaga dengan kemenangan bergaya hasil pengalaman luasnya. 

Pada pusingan kedua, Nor Safura melakar kemenangan pertama, sekali gus membangkitkan semangat pasukan. Hanisah pula berdepan cabaran hebat menentang juara bertahan tahun lalu. Pertarungan berlangsung sengit hingga ke saat akhir, namun masa tamat lebih awal sebelum beliau sempat membuat langkah penentu. Walaupun tewas, semangat juangnya tetap mendapat pujian. 

Pusingan ketiga menjadi titik kebangkitan PBM apabila tiga pemain - Nur Anisnabila, Nor Safura dan Hanisah mencatat kemenangan. Nor Safura membuktikan ketenangan adalah kunci kejayaan, manakala Hanisah pula bangkit dengan strategi yang lebih kemas untuk menundukkan lawan. 

Pusingan terakhir pula menyaksikan perlawanan yang lebih taktikal dan panjang. Nur Anisnabila dan Hanisah masing-masing meraih keputusan seri, memperoleh 0.5 mata setiap seorang. Keputusan ini menggambarkan ketahanan mental walaupun keletihan fizikal mula terasa. 

Setelah empat pusingan tamat, keputusan rasmi diumumkan pada jam 2.00 petang semasa sesi penyampaian hadiah. Pasukan PBM menamatkan saingan di tempat kelima daripada sebelas pasukan keseluruhan, satu pencapaian yang membanggakan. Lebih manis lagi, Nur Anisnabila turut cemerlang apabila berada dalam kelompok empat terbaik individu daripada 43 peserta. 

“Bermain catur bukan sekadar tentang menang atau kalah, tapi tentang fokus dan strategi.” ujar Anis. “Saya bangga dengan pasukan PBM kerana kami belajar dan saling menyokong,” tambahnya. 

Secara keseluruhan, penyertaan PBM dalam kejohanan ini membuktikan bahawa biarpun tidak semua berakhir dengan checkmate, setiap perlawanan menjadi ruang untuk belajar, mengatur strategi dan memperkukuh semangat pasukan. 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng