Official Website    

JABATAN BAHASA ASING PBM ANJUR BENGKEL PEMURNIAN KURSUS SIRI 1

PEKAN, 25 Julai 2025 – Jabatan Bahasa Asing, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Kursus Bahasa Asing Siri 1 sebagai usaha memperkukuh dan menyelaraskan kandungan kursus bahasa asing dan bahasa warisan dengan kehendak semasa industri serta dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Bengkel sehari yang diadakan di Makmal 1, Bangunan PBM, Kampus Pekan ini menghimpunkan semua tenaga pengajar Jabatan Bahasa Asing dan diketuai oleh Ketua Jabatan, Dr. Wan Jumani Fauzi. Bengkel ini berperanan sebagai platform strategik bagi merangka pendekatan pengajaran yang lebih mampan dan responsif terhadap perubahan landskap pendidikan tinggi dan pasaran kerja. 

Bengkel ini memberi tumpuan kepada dua objektif, iaitu penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berdasarkan input daripada Study Committee (SC) dan Industry Advisory Panel (IAP) bertarikh 4 Mei 2025, serta perbincangan strategi pengukuhan bahasa warisan dan bahasa asing selaras dengan pelan tindakan KPT untuk institusi pengajian tinggi (IPT). 

Menurut Dr. Wan Jumani, kejayaan pelaksanaan strategi ini amat bergantung kepada komitmen bersama tenaga pengajar dan perancangan yang sistematik. Justeru itu, bengkel turut melibatkan pembahagian kumpulan kerja di bawah penyelarasan Kang Mei Feng, guru bahasa yang juga merupakan penyelaras Inisiatif Pemerkasaan Bahasa Warisan bagi membincangkan strategi berdasarkan dua keperluan utama iaitu industri dan dasar KPT. 

Antara cadangan hasil perbincangan adalah penambahan aktiviti terjemahan, kosa kata teknikal dan simulasi tempat kerja dalam kursus bahasa asing. Pelaksanaan program Edutourism dan Transnational Education (TNE) sebagai platform pembelajaran kontekstual. Selain itu, termasuklah pelaksanaan Inisiatif Pemerkasaan Bahasa Asing (I-PBA) yang merangkumi aktiviti seperti Talkshop, BacaHub, Ethnic Inspiration: My Language, My Heritage, dan Boardgame Warrior. 

Bengkel ini turut menampilkan perkongsian pandangan daripada para tenaga pengajar. Menurut guru bahasa Jerman, Amir Haikal Imran Ahmad Ashaari, “Bengkel ini memberi pendedahan jelas terhadap kehendak industri dan peranan kami dalam membimbing pelajar agar bersedia menghadapi dunia pekerjaan.” 

Sementara itu, Syahrina Ahmad, guru bahasa Jepun pula menyatakan, “Melalui bengkel ini, kami memahami betapa pentingnya penyelarasan antara pengajaran bahasa dan hala tuju dasar negara agar lebih terfokus dan berimpak.” 

Hasil bengkel ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Penubuhan Fakulti dan Libat Urus Bersama Industri sebagai langkah susulan ke arah penyelarasan kurikulum dan pengukuhan kolaborasi strategik dengan pihak tertentu. Bengkel ini juga dijangka menjadi asas kepada pelaksanaan kurikulum bahasa asing yang responsif terhadap kehendak industri dan dasar negara.  

Secara keseluruhannya, Bengkel Pemurnian Kursus Bahasa Asing Siri 1 mencerminkan komitmen tinggi para tenaga pengajar bahasa asing dalam memperkukuh kecekapan pengajaran bahasa di peringkat universiti. 

Disediakan oleh: Mahzaton Aqma Abu Talip, Leong Hui Theng