Official Website    

PBM RAI GAYA HIDUP SIHAT DAN ILMU BAHASA MELALUI “RITMA CERGAS, RENTAK BAHASA”

PEKAN, 16 Julai 2025 – Unit Sukan dan Rekreasi, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkenal pendekatan baharu bagi memperkasa kesejahteraan warga kerja melalui program unik bertemakan Ritma Cergas, Rentak Bahasa, bersempena pelancaran Minggu EKSA x KKP x Sukan PBM 2025 di Tasik Rekreasi UMPSA Pekan. 

Menggabungkan elemen kecergasan, pemantapan bahasa Melayu dan penerapan nilai-nilai amalan kerja seperti Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), program ini menyerlahkan pendekatan PBM dalam membentuk persekitaran kerja yang produktif dan sihat. 

Program dimulakan dengan sesi pemanasan badan, diikuti aktiviti jalan santai mengelilingi Tasik Rekreasi UMPSA Pekan. Sepanjang laluan, peserta melalui dua cabaran di titik semak pertama melibatkan kuiz EKSA dan aktiviti memanah, manakala titik semak kedua pula mengetengahkan cabaran besi tampin (kettlebell swing) dan kuiz bahasa Melayu berkaitan peribahasa, kata kerja dan pembinaan ayat.  

Apa yang menjadikan program ini unik ialah integrasi elemen gamifikasi dalam setiap cabaran. Dengan format yang menyerupai permainan, aktiviti seperti kuiz interaktif dan tugasan fizikal di titik semak menjadikan peserta lebih terlibat dan bersemangat untuk menyelesaikan misi kumpulan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap penyertaan, malah mencetuskan daya saing sihat dan rasa seronok yang mampu menceriakan suasana kerja.  

Inisiatif ini turut menjadi platform latihan kepimpinan dan kolaborasi dalam suasana santai. Bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti ini turut menyediakan ruang untuk meningkatkan literasi bahasa kebangsaan dan kefahaman terhadap prinsip EKSA dalam konteks tempat kerja.  

Penganjuran ini juga sejajar dengan Pelan Strategik UMPSA yang menekankan pengukuhan kesejahteraan komuniti kampus, pemantapan budaya kerja berintegriti, serta pembangunan modal insan yang holistik, berdaya saing dan seimbang dari segi fizikal, mental serta intelektual. 

Program ini bukan sahaja memenuhi keperluan rekreasi, malah merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan organisasi yang berfokuskan kesejahteraan menyeluruh dan penyuburan budaya kerja kondusif.  

Sebagai acara pembuka tirai, ‘Ritma Cergas, Rentak Bahasa’ menandakan permulaan kepada Minggu Keceriaan PBM yang bakal menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan kesihatan, kekemasan ruang kerja dan pengukuhan identiti organisasi sepanjang minggu tersebut. 

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad & Leong Hui Theng