Official Website    

PERTANDINGAN BOLA JARING SHOOTOUT LELAKI DAN WANITA MERIAHKAN SUASANA SUKAN STAF ANTARA JABATAN (INTER-PTJ 2025) DI UMPSA

GAMBANG, 29 Julai 2025 – Kejohanan Sukan Staf Antara Jabatan (INTER-PTJ) 2025 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dimeriahkan dengan acara Bola Jaring Shootout bagi kategori lelaki dan wanita, yang turut mencuri tumpuan warga kampus. 

Bertempat di Kompleks Sukan Universiti di Kampus Gambang, pertandingan ini menyaksikan penglibatan yang sangat aktif daripada kalangan kakitangan lelaki dan wanita dari pelbagai pusat tanggungjawab yang hadir dengan semangat kesukanan yang tinggi. Menariknya, setiap pasukan yang mendaftar terdiri daripada lima orang peserta dan mereka diberi peluang melakukan jaringan dalam format "shootout", iaitu satu variasi bola jaring yang menguji ketepatan dan konsistensi peserta dalam melakukan jaringan dari kawasan yang ditetapkan. 

Walaupun tidak membawa pulang kemenangan besar, pasukan lelaki dan wanita Pusat Bahasa Moden (PBM) berjaya meraih satu mata hasil jaringan tepat oleh salah seorang pemain mereka iaitu Shamsul Harbi. Semangat juang mereka sepanjang perlawanan mendapat sorakan padu daripada penyokong tegar PBM iaitu Ultras PBM. 

Penganjuran acara ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat dan meningkatkan tahap kecergasan warga UMPSA, malah ia turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara staf daripada pelbagai pusat tanggungjawab. Acara ini membuktikan bahawa bola jaring, yang sering dikaitkan dengan penyertaan wanita, boleh diolah dalam pelbagai format menarik untuk menggalakkan penglibatan semua warga, termasuk staf lelaki. 

Kejohanan INTER-PTJ 2025 terus memainkan peranan penting dalam membudayakan gaya hidup sihat di kalangan komuniti UMPSA, sejajar dengan usaha universiti ke arah pembangunan insan holistik dan cergas. 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran dan Nur Syafawati Sabuan