PBM MENYINAR DI KEJOHANAN PINGPONG INTER-PTJ UMPSA 2025
GAMBANG, 29 Julai 2025 – Jam menunjukkan 11.00 pagi dan bahang sudah terasa di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang. Bukan sekadar cuaca yang hangat, tetapi juga debaran juga semakin memuncak. Lapan orang staf Pusat Bahasa Moden (PBM) sudah bersedia di gelanggang pingpong dengan semangat yang membara.
Di tepi gelanggang, sekumpulan penyokong tegar PBM yang dikenali sebagai “Ultras PBM” mula melaungkan sorakan. Pompom kecil dilambai-lambaikan, kata-kata semangat dilontarkan dan sorakan gemuruh bergema setiap kali mata diraih. Sorakan mereka membakar semangat para pemain, malah menghidupkan suasana pertandingan.
Acara yang dipertandingkan merangkumi lima kategori, iaitu perseorangan wanita, perseorangan lelaki, beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campuran dan PBM telah menghantar wakil bagi kesemua kategori. Barisan pemain adalah seperti berikut:
- Perseorangan Wanita: Siti Asma’ Yaacob
- Perseorangan Lelaki: Dr. Jurgen Martin Burkhardt
- Beregu Wanita: Nurul Syazwani Aziz dan Zatul Amrah Mohammad Nazri
- Beregu Lelaki: Abdul Jalil Abdul Rahim dan Khairul Bahri Abdul Samad
- Beregu Campuran: Hanisah Bon (Kasbon) dan Dr. Abdullah Adnan Mohamed
Ini merupakan kali pertama mereka menyertai Kejohanan Sukan Staf Antara Jabatan (Inter-PTJ). “Boleh menangkah kita ni?” tanya Hanisah sambil memegang raket pingpong. Dr. Abdullah Adnan hanya tersenyum kerana beliau sendiri baru sahaja belajar bermain pingpong beberapa minggu yang lalu.
PBM memulakan pertandingan di peringkat kumpulan dengan menentang Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH). Dr. Jurgen tampil sebagai pemain pertama. Dengan yakin, beliau melangkah ke gelanggang dan tidak sampai 15 minit, kemenangan berpihak kepada PBM. Siti Asma’ pula mempamerkan gerak tangan yang kemas, disertai pandangan mata yang tajam. Seorang penonton dari PPPH sempat berkata, “Kalau ada pingat individu, dia memang juara.” Pasangan beregu wanita, Nurul Syazwani dan Zatul Amrah menunjukkan keserasian yang baik. Walaupun sesekali bola tersasar, akhirnya tetap berjaya menyumbang mata kemenangan ketiga. PBM menamatkan pusingan pertama dengan kemenangan 3–2, menaikkan semangat pasukan untuk pusingan seterusnya.
Seterusnya, PBM berdepan Fakulti Komputeran (FK), juara bertahan yang menjadi cabaran utama. Dr. Jurgen berdepan lawan yang cukup berpengalaman dan taktikal. “Pihak lawan ini jenis yang hafal kelemahan,” katanya sambil tersenyum walaupun kepenatan. Siti Asma’ pula meneruskan rentak cemerlang dengan satu lagi kemenangan mudah. Pasangan beregu campuran Hanisah dan Dr. Abdullah Adnan mempamerkan keserasian yang baik walaupun tewas dalam pusingan ini. Bagi Dr. Abdullah Adnan yang bermula tanpa asas pingpong, pencapaian ini sudah cukup membanggakan. PBM menutup pusingan kedua dengan kiraan mata 2-3.
PBM menentang Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dalam perlawanan akhir. Pasukan lawan dibarisi pemain muda yang bertenaga serta dibimbing oleh jurulatih berpengalaman. Dr. Jurgen bertemu pemain yang pantas membaca gerak lawan. “Saya rasa dia kaji permainan saya semalam,” ujarnya sambil ketawa. Nurul Syazwani dan Zatul Amrah tetap bertahan sehingga ke mata terakhir. Siti Asma’ pula menutup aksi peribadinya dengan satu lagi kemenangan bergaya, memukau penonton dengan teknik dan ketenangannya di gelanggang. Keputusan akhir ialah PPPH menang 4–1.
Abdul Jalil dan Khairul Bahri sentiasa berjuang sehingga ke titik akhir dalam setiap perlawanan. Mereka tampil demi memastikan PBM kekal bersaing walaupun berdepan kekurangan pemain. Menurut Abdul Jalil, kehadiran di gelanggang bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, tetapi sebagai tanda sokongan kepada rakan sepasukan.
PBM mungkin tidak mara ke peringkat seterusnya, namun tiada seorang pun yang pulang dengan rasa kecewa. Mereka membawa pulang sesuatu yang lebih bermakna iaitu semangat berpasukan, kenangan manis, dan rasa hormat sesama rakan.
Menurut Nurul Syazwani, “Setiap kali kami hampir putus asa, sorakan daripada Ultras PBM membuatkan kami kembali bersemangat. Itulah yang paling kami hargai.”
Bagi setiap staf PBM, inilah makna sebenar kejohanan, bukan sekadar mengejar mata, tetapi juga membina pengalaman dan memperkukuh hubungan kerja melalui sukan.
“Tahun depan kita mula latihan awal sedikit,” kata salah seorang pemain, disambut tepukan semangat rakan sepasukan serta sokongan padu daripada barisan penyokong setia. PBM Pingpong, Fighting!
Disediakan oleh: Leong Hui Theng & Siti Asma' Yaacob