Previous Next
">

PTP MERIAH BAHASA MELAYU 2024: BAHASA MELAYU BAHASA ILMU

24 September 2024 - Sekumpulan guru bahasa dari Pusat Bahasa Moden, yang diketuai oleh Cik Jamilah Bebe Mohamad, telah melaksanakan inisiatif Profesor Turun Padang (PTP) Meriah Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lanchang, Temerloh, Pahang. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah rendah, khususnya di kalangan pelajar yang berlatarkan bahasa Tamil.

Seramai 40 orang pelajar yang terdiri daripada Tahun 1 hingga tahun 6 dari sekolah tersebut telah terlibat secara aktif dalam program ini. Mereka didedahkan melalui aktiviti pembelajaran yang memberi fokus kepada Kata Ganti Nama Diri dan Ayat Perintah dalam bahasa Melayu. Aktiviti-aktiviti seperti latihan pengukuhan, permainan interaktif, dan pembentangan berkumpulan diadakan untuk memastikan pelajar terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran. Pendekatan pembelajaran yang interaktif ini bertujuan untuk membantu pelajar memahami kedua-dua aspek ini dengan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan berkesan.

Kemeriahan program ini turut diserikan dengan aktiviti-aktiviti menarik yang melibatkan pembelajaran mengikut arahan melalui tarian dan lagu irama Melayu Malaysia. Salah satu lagu yang dipilih untuk sesi ini adalah lagu oleh penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, berjudul "Joget Berhibur", yang menambah suasana ceria dan semangat dalam kalangan pelajar. Melalui tarian yang diselaraskan dengan lagu tersebut, pelajar dapat merasai keindahan budaya Melayu sambil belajar dalam suasana yang gembira.

Sesi ini diketuai oleh Encik Mohd Edeazry Hamzah, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat yang juga merupakan jurulatih senamrobik peringkat kebangsaan dan salah seorang ahli inisiatif PTP ini. Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja belajar tentang bahasa, tetapi juga dapat merasai keindahan budaya Melayu, yang merupakan sebahagian daripada warisan negara kita, ujarnya.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar SJKT Ladang Lanchang, Puan Vasantah A/P Nadasan sebagai tanda sokongan padu daripada pihak pengurusan sekolah terhadap inisiatif yang dijalankan. Beliau hadir memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar dan guru-guru yang terlibat agar program seperti ini dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka. Beliau juga berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan untuk memupuk minat pelajar terhadap bahasa Melayu dan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan sekolah dapat dikembangkan kepada pelbagai aspek bahasa yang lain.

Program ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua pelajar yang terlibat. Penyampaian hadiah ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan penglibatan pelajar, tetapi juga sebagai motivasi untuk mereka terus menghayati bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu yang menjadi agenda negara. Diharapkan inisiatif ini dapat terus memberi inspirasi kepada pelajar untuk mempelajari dan mencintai bahasa kebangsaan negara ini.

Penulis:
Jamilah Bebe Mohamad dan Hanisah Bon (Kasbon)


Print   Email