Previous Next
">

PAMERAN ERA PASCA-NORMAL MADANI RANGSANG PEMIKIRAN MENDEPANI PERUBAHAN MASA DEPAN

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2024 – Seramai tujuh orang staf daripada Unit Pentadbiran Pusat Bahasa Moden (PBM) telah menghadiri lawatan ke Pameran Era Pasca-Normal Madani (Postnormal Times Madani Exhibition) yang dianjurkan oleh The Centre for Postnormal Policy and Future Study (CPPFS) dengan kerjasama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Asia Timur dan Asia Tenggara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertempat di Tingkat 10, Berjaya Times Square Kuala Lumpur.

Pameran yang diadakan sehingga 10 November 2024 ini menawarkan penjelahan mendalam dan terperinci tentang zaman pascanormal melalui pedagogi eskpresi seni yang menggambarkan perubahan dunia dengan menonjolkan hakikat dan ciri-ciri zaman pascanormal. Pameran Era Pasca-Normal Madani ini menampilkan karya enam artis tempatan yang mengetengahkan ciri-ciri tonggak utama konsep Madani, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.  

Pemeran tersebut berkonsepkan ekspresi kesenian yang memberikan kefahaman dan pendidikan kepada masyarakat negara ini dalam mendepani pelbagai situasi khususnya masa depan. Menurut Puan Nor Ashikin binti Sulaiman, pegawai tadbir eksekutif kanan PBM, pameran ini banyak merangsang pemikirannya terhadap pelbagai perubahan yang berlaku sekeliling beliau dan berharap lebih ramai orang yang mengambil kesempatan menghadari pameran ini.

Manakala menurut Shahanor Firdaus bin Ismail, salah seorang staf yang turut hadir, melalui pameran ini beliau lebih memahami perubahan yang sedang berlaku terutamanya ketika zaman pascanormal iaitu perubahan keadaan dunia yang begitu pesat sekali sehingga proses perubahan tersebut boleh berlaku dengan pelbagai cara. Ketika ini juga berlakunya perubahan proses peralihan antara zaman yang pemikirannya telah usang dengan zaman baru yang masih belum wujud melainkan dengan sedikit sekali perkara yang masuk akal.

Aspek-aspek seperti pasca kebenaran, revolusi kecerdasan buatan manusia (AI), malapetaka iklim, dunia tergendala akibat covid dan tatakelola yang usang  menjadi faktor perubahan kepada zaman pascanormal. Hal ini demikian kerana zaman pascanormal tidak muncul secara tiba-tiba melainkan perubahan aspek-aspek ini tertakluk kepada garis masa dan fenomena global yang berlaku.

Zaman pascanormal tidak boleh dikawal atau diurus melainkan zaman ini hanya boleh dikemudi. Keupayaan dan kesedaran dalam mengesan sebarang perubahan dalam kepelbagaian skala dan trend serta kemunculan isu baru adalah asas dalam mengemudi sebarang perubahan ini. Enam rukun MADANI adalah memastikan keselamatan bahtera negara dalam melayari zaman pascanormal. 

Segala bentuk perubahan masa hadapan, keserentakan, kerumitan, percanggahan dan kekacauan menjadikan kerangka MADANI sebagai panduan yang rumit dan bersepadu yang kemudiannya diperkenalkan kepada lapan elemen utama masyarakat Malaysia. Lapan elemen tersebut ialah sektor ekonomi, institusi, pendidikan, sosial dan budaya, bandar dan desa. Jika ditelusuri akhirnya pameran ini menjelaskan bahawa kerangka MADANI adalah tidak bersifat linear atau satu arah sahaja. Semakan dan penegasan semula adalah penting dalam mengemudi zaman pascanormal.

11

Rajah 1: Karangka Dasar MADANI

Sumber:  SCRIP/MADANI The Postnormal Times Madani Exhibition 26 Mei – 10 November 2024

Pameran sebegini adalah wajar dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam merangsang pemikiran warga pengunjung terhadap apa sebenarnya yang terjadi pada zaman pascanormal dan bagaimana pemahaman terhadap MADANI membantu mereka mendepani apa sahaja demi kemajuan negara.

Disediakan oleh: Nurul Haniza binti Haron & Jamilah Bebe Mohamad


Print   Email