Official Website    

PROGRAM ONBOARDING STAF BAHARU UMPSA SIRI 1/2026 BERLANGSUNG DENGAN JAYANYA

PEKAN, 29 Januari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Pembangunan Bakat (CTD), Jabatan Pendaftar telah berjaya menganjurkan Program Onboarding Staf Baharu UMPSA Siri 1/2026 buat kali pertama, bertempat di Dewan Latihan 1, Bangunan DiTec, UMPSA Pekan.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini menghimpunkan staf baharu daripada pelbagai pusat tanggungjawab dan merupakan satu inisiatif strategik universiti dalam memperkukuh proses penyesuaian staf baharu secara lebih tersusun dan menyeluruh. Penganjuran kali pertama ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkenalkan pendekatan onboarding yang sistematik selari dengan hala tuju dan aspirasi universiti.

Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan struktur organisasi, budaya kerja serta hala tuju strategik universiti agar staf baharu dapat memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan jelas, di samping menghayati nilai teras UMPSA sejak awal perkhidmatan.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai slot pengisian merangkumi topik berkaitan peranan staf sebagai warga kerja UMPSA, etika dan profesionalisme perkhidmatan awam, nilai teras universiti, serta kesejahteraan holistik yang menekankan keseimbangan antara kerjaya, kehidupan dan kesihatan mental.

Turut terlibat dalam program ini ialah tiga orang guru bahasa dari Pusat Bahasa Moden (PBM), iaitu Amir Haikal Imran (Guru Bahasa Jerman), Mahzaton Aqma Abu Talip, serta Zatul Amrah Mohammad Nazri (Guru Bahasa Korea). Penyertaan mereka mencerminkan komitmen PBM dalam menyokong inisiatif pembangunan modal insan universiti serta memastikan staf akademik baharu selari dengan budaya kerja dan nilai teras UMPSA.

Program ini turut memberi penekanan kepada pematuhan peraturan dan etika perkhidmatan awam, tadbir urus yang baik, integriti serta profesionalisme dalam pelaksanaan tugas. Melalui sesi perkongsian dan interaksi yang dijalankan, para peserta dilihat lebih bersedia, bermotivasi dan yakin untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara efektif dan produktif.

Secara keseluruhannya, Program Onboarding Staf Baharu UMPSA Siri 1/2026 yang dianjurkan buat kali pertama ini telah mencapai objektif penganjurannya dan berjaya menjadi platform penting dalam membentuk asas kukuh kepada staf baharu universiti. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam melahirkan warga kerja yang berdaya saing, berintegriti dan komited ke arah kecemerlangan UMPSA.

 

Disediakan oleh: Amir Haikal Imran, Mahzaton Aqma Abu Talip dan Zatul Amrah Mohammad Nazri