Official Website    

PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI JABATAN BAHASA ASING SANTUNI MASYARAKAT RAUB

RAUB, 1 Jun 2025 - Suasana penuh warna-warni mengiringi Program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Pesta Chang yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Jabatan Bahasa Asing (FL), dan Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Cheroh, Raub. 

Penglibatan seramai 13 orang guru bahasa dalam program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) jabatan. Inisiatif sebegini sejajar dengan aspirasi perkhidmatan awam sebagaimana digariskan dalam Pelan Strategik Sumber Manusia Sektor Awam 2021–2025, yang menggalakkan penglibatan aktif penjawat awam dalam program berteraskan komuniti. Selain itu, penyertaan ini turut memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi tonggak keutuhan negara. 

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program berlangsung, yang dibahagikan kepada beberapa kategori. Antaranya termasuk senaman taichi, ceramah berkaitan Hari Raya Aidiladha dan Pesta Chang, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi memasak kuih Chang, serta pelbagai pameran daripada agensi berkaitan. 

Antara pengisian ilmu yang mencuri tumpuan ialah ceramah tentang sejarah dan budaya Pesta Chang yang telah disampaikan oleh guru bahasa, Puan Yong Ying Mei, yang berjaya menarik perhatian khalayak pelbagai kaum. 

Program ini menyasarkan tiga kategori aktiviti utama kepada para pengunjung: 

1. Kanak-kanak Tahap 1 (tadika serta Tahun 1 dan 2) menyertai pertandingan mewarna dalam suasana ceria dan menyeronokkan. 

2. Kanak-kanak Tahap 2 (Tahun 3 hingga Tahun 6) pula terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan tradisional seperti membaling gelung, boling, pitch pot, dan membaling bola ping pong ke dalam sarang telur. 

3. Kategori Dewasa (pelajar sekolah menengah dan orang dewasa) mengambil bahagian dalam aktiviti kebudayaan seperti menganyam ketupat, seni menggunting kertas, boling kelapa, serta membaling bola ke arah tin susu. 

Menurut guru bahasa, Puan Yanti Salina, beliau tidak menyangka bahawa ramai pengunjung daripada kaum Cina begitu berminat dan bersungguh-sungguh mahu mempelajari seni anyaman ketupat di reruainya. Jelas beliau, rata-rata pengunjung menyatakan bahawa sebelum ini mereka hanya pernah menikmati ketupat, namun tidak pernah mengetahui cara membalutnya. Program ini menjadi satu peluang istimewa untuk mereka mencuba dan belajar sendiri. 

Sementara itu, Ketua Program Jabatan Bahasa Asing, Dr. Wan Jumani Fauzi, menyatakan penghargaan atas peluang mendekati komuniti Raub melalui penganjuran program ini. 

“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara budaya, malah memberi ruang kepada kami dari UMPSA untuk mempromosikan peluang pengajian, khususnya kepada lepasan SPM. Diharap jalinan sebegini akan terus diperkasa agar universiti dapat memainkan peranan lebih besar dalam komuniti setempat,” ujar beliau. 

Beliau turut menambah bahawa program ini menjadi platform yang baik untuk memperkenalkan UMPSA kepada komuniti setempat serta berkongsi maklumat tentang program pengajian yang ditawarkan. Pendedahan awal sebegini diharap dapat membantu para pelajar merancang hala tuju pendidikan mereka dengan lebih awal, bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing. 

Program ini telah dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Asri bin Abdul Rahim, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, dan turut dihadiri oleh Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang Darul Makmur. 

Kehadiran lebih 300 orang daripada pelbagai kaum di Raub menyerlahkan kejayaan program ini sebagai platform untuk memupuk perpaduan, memperkukuh keharmonian masyarakat, dan mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan prinsip Rukun Negara. 

Disediakan oleh:  Yong Ying Mei, Jamilah Bebe Mohamad, Leong Hui Theng