Official Website    

PROGRAM GAME ON: ENGLISH EDITION SEMPENA KARNIVAL CIMIC MKAB 2025

KUANTAN, 23 Mei 2025 - Satu program pembelajaran bahasa berasaskan permainan berkumpulan, Game On: English Edition telah berjaya dianjurkan sempena Karnival Civilian-Military Cooperation (CIMIC) MKAB 2025. Karnival ini merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan oleh Markas Angkatan Bersama (MKAB), Kuantan, dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan antara komuniti awam dan pihak tentera.  

Objektif utama program ini adalah untuk menyuntik semangat dan motivasi dalam kalangan pelajar agar menjadi individu yang berdaya saing, berkeyakinan, bermotivasi tinggi serta mempunyai minat yang mendalam terhadap pembelajaran Bahasa Inggeris. Dalam konteks Karnival CIMIC, program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan dua hala yang positif antara tentera dan komuniti awam, khususnya dalam bidang pendidikan. 

Pada tahun ini, MKAB telah menjemput Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Unit Khidmat Komuniti, Pusat Bahasa Moden (PBM) untuk mengendalikan sebuah program motivasi dan sesi pembelajaran Bahasa Inggeris yang interaktif dan menyeronokkan. 

Program berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing. Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar berumur antara 12 hingga 17 tahun telah menyertai program ini. Mereka merupakan pelajar-pelajar pelajar dari SMK Sungai Lembing, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lembing, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing serta anak-anak anggota tentera dari MKAB. Kehadiran mereka menyerikan suasana serta menyemarakkan sesi pembelajaran yang lebih hidup dan bermakna. 

Program dimulakan dengan sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh wakil UMPSA, Dr. Abdullah Adnan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan keyakinan diri, usaha berterusan dan kemahiran komunikasi dalam membentuk generasi pelajar yang cemerlang serta berwibawa. Sesi ini telah memberi inspirasi kepada para peserta untuk terus berusaha meningkatkan penguasaan diri dalam bidang akademik, terutamanya Bahasa Inggeris. 

Program ini kemudiannya diteruskan dengan aktiviti permainan bahasa yang dikendalikan oleh para guru bahasa dari Bahagian Jabatan Bahasa Inggeris serta Jabatan Bahasa Asing UMPSA. Antara guru yang terlibat ialah Abdul Jalil, Nur syafawati, Wan Noor Farah, Nor Anisnabila, Noraisah Nurul Fatwa,Shamsul, Jamilah Bebe, Leong Hui Theng dan Siti Asma’.  

Sembilan jenis permainan bahasa telah disediakan dan ditempatkan di stesen berbeza.  Kesemua yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa memainkan peranan penting dalam menjayakan aktiviti yang bersifat dinamik, menyeronokkan dan interaktif sepanjang program berlangsung.  

Faktor utama yang membezakan Game On: English Edition daripada program-program bahasa konvensional adalah pendekatannya yang menggunakan sembilan permainan bahasa sebagai medium utama. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dirancang secara kreatif bagi merangsang penggunaan Bahasa Inggeris dalam suasana yang santai dan penuh keceriaan. Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah Sing Your Heart Out!, Muscle Twist, Here Comes the Hunter, dan Grammar Police. Permainan-permainan ini bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk berkomunikasi secara spontan dalam Bahasa Inggeris. 

Dengan pengalaman luas dalam pengajaran dan pembangunan program bahasa, pasukan PBM berjaya mencipta suasana pembelajaran yang berkesan dan bermakna. Peserta menunjukkan keterlibatan yang sangat positif, dengan ramai yang tampil berani mencuba dan menunjukkan peningkatan keberanian serta minat dalam penggunaan Bahasa Inggeris. 

Maklum balas yang diterima daripada peserta dan guru pengiring amat memberangsangkan. Ramai yang menyatakan bahawa mereka berasa lebih yakin dan terinspirasi untuk mempelajari Bahasa Inggeris selepas menyertai program ini. Malah, beberapa peserta turut meluahkan hasrat mereka untuk terus aktif dalam aktiviti bahasa dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. 

Sebagai penutup tirai program, wakil dari SMK Sungai Lembing iaitu Cikgu Rohimah menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak MKAB dan UMPSA atas penganjuran program yang memberi impak positif kepada para peserta. Beliau menegaskan bahawa pendekatan kreatif ini telah berjaya membangkitkan semangat pelajar dan menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih mesra dan mudah didekati. Sebagai tanda penghargaan, pihak sekolah menyampaikan cenderamata kepada Ketua Program, Abdul Jalil yang mewakili UMPSA. 

Secara keseluruhannya, Game On: English Edition bukan sahaja berjaya mencapai objektif program, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan pihak ketenteraan. Usaha murni seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pelajar dapat menikmati faedahnya, terutamanya dalam memperkasakan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda negara. 

Disediakan oleh: Abdul Jalil Abdul Rahim, Nur syafawati Sabuan, Leong Hui Theng & Wan Noor Farah Wan Shamsuddin