EJAAN LANCAR DAN KEYAKINAN LUAR BIASA DI SPELLING BEE SEPANYOL UMPSA 2025
24 May 2025 – Program ‘Hablar Español Con Spelling Bee’ atau ‘Bertutur dalam Bahasa Sepanyol dengan Spelling Bee’ telah dianjurkan oleh Kelab Bahasa Sepanyol Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) atau Espansia Club secara dalam talian melalui platform Microsoft Teams.
Objektif program ini adalah untuk mencetus minat pelajar dalam pembelajaran bahasa Sepanyol, meningkatkan keyakinan mereka dalam menggunakan bahasa tersebut, serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif.
Program ini telah dihadiri oleh penasihat kelab, Azlina Mohd Ariffin, 16 ahli jawatankuasa pelaksana, serta 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar kursus bahasa Sepanyol di UMPSA.
Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Beginner (permulaan) yang melibatkan 18 peserta, dan Intermediate (pertengahan) dengan 22 peserta. Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan taklimat mengenai peraturan pertandingan oleh pengacara dan sesi bergambar.
Seterusnya, pertandingan dimulakan dengan kategori Beginner, diikuti oleh kategori Intermediate. Para peserta dikehendaki mengeja perkataan yang diberikan dengan betul menggunakan huruf Sepanyol. Mereka diberi masa selama 30 saat, dan sekiranya salah eja dalam tempoh tersebut, mereka akan disingkirkan dan tidak layak ke pusingan seterusnya.
Kategori Beginner mempunyai tiga peringkat: dua perkataan untuk peringkat pertama, tiga perkataan di peringkat kedua, dan peserta bersaing antara satu sama lain di peringkat ketiga untuk menentukan pemenang.
Kategori Intermediate pula mempunyai empat peringkat; dua peringkat pertama sama seperti kategori Beginner, manakala peringkat ketiga melibatkan lima perkataan. Peringkat keempat pula menggunakan konsep sama seperti peringkat akhir kategori Beginner di mana peserta perlu mengeja dengan betul untuk menang.
Program ini tamat pada jam 12 tengah hari dengan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program. Tahniah diucapkan kepada enam pemenang! Tiga pemenang dari kategori Beginner ialah Kirtana, Siti Khadijah Humaira, dan Nurul Ain. Tiga lagi dari kategori Intermediate ialah Leong Fung Ching, Yap Wan Xin, dan Jeevarani.
Penganjuran program ini membuktikan bahawa pelajar UMPSA amat berminat dalam pembelajaran bahasa Sepanyol. Semua peserta menunjukkan keterujaan serta penyertaan yang aktif. Program seperti ini turut membantu meningkatkan keyakinan pelajar dalam penggunaan bahasa asing. Secara keseluruhannya, program sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang.
Disediakan oleh: Azlina Mohd Ariffin