Official Website    

PROGRAM '¡HOLA! SK FAKEH' SUNTIK MINAT MURID MEMPELAJARI BAHASA SEPANYOL

KUANTAN, 10 Mei 2026 – Kelab Bahasa Sepanyol Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) julung kalinya menganjurkan program bertemakan '¡Hola! SK Fakeh'. Program yang berlangsung secara bersemuka ini berjaya membawa kelainan dengan mendedahkan murid-murid SK Fakeh Abdul Samad kepada keindahan bahasa Sepanyol melalui kaedah pembelajaran interaktif.

Berteraskan konsep bermain sambil belajar, inisiatif ini bertujuan memupuk minat murid terhadap bahasa asing di luar suasana pembelajaran formal. Di bawah bimbingan 15 fasilitator mahasiswa yang berdedikasi, seramai 60 orang murid terlibat dalam sistem penggiliran lima stesen kreatif. Penggunaan modul permainan seperti Charades, Simon Says, I Spy, Stand Up!, dan Teka Bunyi Haiwan ternyata menjadi daya tarikan utama yang memastikan murid kekal fokus dan ceria sepanjang program berlangsung.

Impak program ini sangat luar biasa apabila murid-murid mula berani memecahkan tembok rasa malu untuk bertutur dalam bahasa asing. Kosa kata asas seperti gato (kucing), cabeza (kepala), manzana (epal) dan lain-lain kini mula meniti di bibir mereka dengan penuh yakin. Keberkesanan kaedah pembelajaran berkonsepkan pergerakan ini terbukti jauh lebih berkesan dalam menarik minat murid berbanding kaedah pembelajaran biasa yang lebih formal di dalam kelas.

Pihak sekolah turut menzahirkan rasa kagum dan penghargaan atas inisiatif kreatif ini yang memberikan pengalaman baharu dalam dunia pendidikan murid mereka. Sebagai acara kemuncak, program diserikan dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang dan pertukaran cenderahati yang disempurnakan oleh Penasihat Kelab, Señora Azlina Mohd Ariffin serta Pembantu Penasihat, Puan Hamizah Zahari. Sijil penyertaan turut diserahkan kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan aktif mereka sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhannya, '¡Hola! SK Fakeh' bukan sekadar program khidmat masyarakat, malah menjadi platform terbaik buat mahasiswa UMPSA mengasah kemahiran komunikasi dan bakat kepimpinan. Usaha murni ini diharapkan menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif sumbangan komuniti pada masa hadapan, sekali gus melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat global.

 

Disediakan oleh: Azlina Mohd Ariffin & Hamizah Zahari