BELAJAR BAHASA SEPANYOL MERENTAS SEMPADAN MELALUI GLOBAL CLASSROOM
Gambang, 19 April 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan bahasa melalui penganjuran program Global Classroom yang melibatkan seramai 125 pelajar kursus Spanish A1 (ULS1312). Program yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet ini memberi peluang kepada peserta berinteraksi secara langsung dengan penutur jati bahasa Sepanyol dalam suasana pembelajaran yang autentik dan interaktif.
Sesi tersebut telah dikendalikan oleh Dr. Violetta Brazhnikova Tsybizova dari Instituto Cervantes de Tokyo, Jepun, seorang pensyarah antarabangsa dari Sepanyol yang berpengalaman dalam pengajaran bahasa Sepanyol. Menerusi sesi bertajuk “Let’s Speak Spanish: From Greetings to Talking About the Weather”, beliau membimbing peserta mempelajari kemahiran asas komunikasi harian seperti sapaan, perkenalan diri dan perbualan berkaitan cuaca dalam bahasa Sepanyol.
Penyampaian yang bertenaga, mesra dan interaktif berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, sekali gus meningkatkan keyakinan peserta untuk bertutur dalam bahasa Sepanyol. Peserta turut berpeluang mempraktikkan sebutan yang betul serta memahami penggunaan ungkapan asas dalam situasi komunikasi sebenar. Program ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk memahami budaya dan cara hidup masyarakat Sepanyol secara lebih dekat melalui pendedahan langsung daripada penutur jati.
Pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi UMPSA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing serta mempunyai kemahiran komunikasi pelbagai bahasa di peringkat antarabangsa. Program Global Classroom turut membuktikan bahawa teknologi digital mampu menjadi pemangkin pendidikan global yang menyokong pembelajaran merentas sempadan.
Disediakan oleh: Azlina Mohd Ariffin