PROGRAM EKSA LESTARI SEMPENA KONVOKESYEN KE-19 UMPSA
UMPSA Kampus Pekan, 19 Oktober 2024 - Bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-19 (MKK19) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Unit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pusat Bahasa Moden (PBM), dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) telah menganjurkan Program Kelestarian EKSA. Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan daripada tiga staf Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) yang bertanggungjawab dalam penyediaan lokasi dan pokok bagi program ini.
Inisiatif ini melibatkan penanaman 19 pokok pada 19 Oktober 2024 di Rimba Komuniti UMPSA Pekan sebagai simbolik meraikan MKK19. Program Kelestarian EKSA ini bertujuan untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih hijau, bersih dan kondusif. Menerusi konsep EKSA, persekitaran yang berkualiti serta selamat menjadi keutamaan, namun ia turut memberi tumpuan kepada kelestarian alam melalui amalan hijau.
Langkah ini adalah bukti komitmen UMPSA dalam menyuntik kesedaran dan menggalakkan amalan hijau dalam kalangan warga universiti, termasuklah warga PBM. Usaha ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari serta SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim yang menekankan kepentingan persekitaran hijau dan mampan bagi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Program dimulakan dengan simbolik perasmian oleh Dekan Pusat Bahasa Moden, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita binti Nik Mohd Alwi, yang membuka tirai dengan memperlihatkan susunan pokok kaktus yang membentuk angka 19 – melambangkan Majlis Konvokesyen ke-19.
Menurut Dr. Nik Aloesnita, setiap staf perlu memainkan peranan dalam mentransformasikan persekitaran tempat kerja yang lebih kondusif dan mesra alam. Persekitaran yang baik bukan sahaja mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan seimbang, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan, tahap kesihatan yang lebih baik, serta meningkatkan produktiviti dan pencapaian staf.
“Usaha kecil seperti ini merupakan langkah awal ke arah transformasi amalan hijau di kampus, yang bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan tetapi juga mendorong kecemerlangan dalam prestasi kerja.” ujar Dr. Nik Aloesnita.
Majlis diteruskan dengan penyerahan pokok oleh wakil PJIM, Puan Rozana binti Sahadan, dan seterusnya penyerahan pokok hiasan untuk PBM oleh Penyelaras Unit EKSA PBM, Hanisah bt Bon (Kasbon).
“Inisiatif penanaman pokok hiasan di pejabat ini bukan sahaja menambah elemen hijau, malah menggalakkan amalan kelestarian yang berterusan di PBM. Saya berharap usaha ini dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih segar, nyaman, dan kondusif, di samping menyemai kesedaran dalam kalangan warga PBM tentang kepentingan menjaga alam sekitar demi masa depan yang lebih Lestari.” kata Hanisah.
Seterusnya, aktiviti ini diteruskan dengan taklimat ringkas mengenai tatacara penanaman pokok oleh Yusmin bin Jaffar dari PJIM. Dengan semangat dan kerjasama dari peserta yang hadir, semua pokok yang terpilih berjaya ditanam mengikut perancangan program ini.
Menurut Encik Shamsul Harbi, program ini memberikan peluang kepadanya untuk memahami dengan lebih mendalam kaedah serta proses penanaman pokok, termasuk teknik penjagaan yang betul. Beliau turut menekankan bahawa pokok memainkan peranan penting dalam kehidupan, antaranya sebagai penyumbang utama dalam penghasilan oksigen, pengurangan kesan pemanasan global, dan pemeliharaan ekosistem.
Semoga usaha ini memberikan manfaat yang berterusan kepada universiti dan diharapkan inisiatif seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan, kelestarian, dan kecemerlangan bersama warga UMPSA khususnya PBM.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad & Hanisah (Bon) Kasbon