Previous Next
">

KEMPEN PELUPUSAN MUSHAF DAN BAHAN BERCETAK TEKS AL-QURAN OLEH UNIT EKSA PBM 2024

PEKAN, 25 November 2024 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Kempen Pelupusan Mushaf dan Bahan Bercetak Teks al-Quran yang diadakan bersempena dengan Minggu Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) baru-baru ini.

Kempen itu mencapai kejayaan yang membanggakan dengan jumlah bahan bercetak teks al-Quran yang berjaya dikumpulkan mencecah 3,873 kilogram. 

Program ini melibatkan penyertaan staf UMPSA serta pihak sekolah-sekolah dan komuniti sekitar UMPSA. 

Penganjuran kempen ini juga adalah salah satu usaha yang dijalankan oleh pihak UMPSA untuk menggalakkan budaya penjagaan kesucian al-Quran dalam kalangan masyarakat selaras dengan program EKSA yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, bertanggungjawab, dan sensitif terhadap nilai-nilai murni.

Menurut Pengarah Program, Najjahul Huda Hassan, kempen ini tidak hanya memberi manfaat dalam aspek keagamaan tetapi juga dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga bahan bercetak yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. 

“Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara universiti, sekolah, dan komuniti dalam usaha bersama menjaga kesucian dan martabat al-Quran.

“Selepas bahan bercetak tersebut dikumpulkan, ia dihantar ke Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang yang terletak di Chenor untuk proses pelupasan. 

“Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang merupakan pusat yang diiktiraf untuk melaksanakan proses perlupasan bahan-bahan bercetak al-Quran dengan penuh penghormatan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya. 

Katanya, di sini, bahan-bahan tersebut akan diproses dan dilupuskan dengan penuh berhati-hati agar tidak disalahgunakan atau dibiarkan dalam keadaan yang tidak sesuai.

Menurut penyelaras Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang (Chenor)  Mohamad Azrul Azmi bin Abdullah usaha yang dijalankan oleh zon EKSA PBM UMPSA merupakan satu inisiatif yang baik dan membantu golongan masyarakat dalam melakukan proses perlupusan dengan kaedah yang sistematik agar bahan bercetak al-Quran tidak dibuang merata-rata. Usaha sebegini sepatutnya diteruskan pada masa akan datang agar dapat dicontohi oleh masyarakat lain.

Program ini juga disertai oleh sekumpulan sukarelawan staf PBM yang berpeluang menyaksikan secara dekat proses-proses perlupusan ini dan sebahagian bahan di simpan untuk menunggu giliran perlupusan pada hari seterusnya. Kesemua staf melahirkan rasa syukur atas peluang untuk mengetahui dan terlibat dengan lebih dekat proses ini yang pertama kali dilaksanakan oleh mereka. Mereka berharap agar peluang ini memberikan mereka pengalaman yang baharu khususnya dalam usaha mengendalikan bahan al-Quran yang perlu dilupuskan.

Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad, Pusat Bahasa Moden (PBM)


Print   Email