PBM UMPSA PERKUKUH PENGANTARABANGSAAN MELALUI PROGRAM RINTIS IEP
Cyberjaya, 29 April 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), melakar satu langkah signifikan melalui penghantaran dokumen lengkap permohonan pelaksanaan Program Rintis Intensive English Programme (IEP) kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PBM dalam memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan graduan berdaya saing global serta memperkasa agenda pengantarabangsaan universiti melalui peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa ke UMPSA.
Bagi menyahut agenda pemerkasaan kualiti pendidikan tinggi negara, UMPSA telah terpilih untuk menerima jemputan daripada MQA bagi menyertai pelaksanaan rintis verifikasi kualiti IEP. Sebagai sebuah program rintis di peringkat nasional, IEP melibatkan penyertaan sebanyak lapan (8) Pemberi Pengajian Tinggi (PPT) yang telah mengemukakan permohonan kepada pihak MQA. Penglibatan UMPSA dalam agenda akademik ini memperlihatkan kesepaduan institusi pendidikan tinggi dalam menjayakan agenda pemerkasaan bahasa Inggeris serta peningkatan kebolehpasaran graduan negara. Inisiatif ini merupakan satu langkah strategik dalam menilai kesesuaian serta keberkesanan garis panduan IEP sebelum diperluaskan ke seluruh institusi pendidikan tinggi. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan program yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi standard kebangsaan, malah selari dengan piawaian antarabangsa.
Program IEP merupakan satu pendekatan penilaian bahasa Inggeris berstruktur yang dirangka bagi meningkatkan tahap kecekapan bahasa Inggeris secara intensif dan menyeluruh. Program ini memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran komunikasi, kefahaman akademik, serta keupayaan pelajar untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama dalam persekitaran pembelajaran dan seterusnya di alam pekerjaan. Pelaksanaan program ini turut menyokong usaha penjajaran kepada penyeragaman penilaian kemahiran bahasa seperti Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) serta English Language Higher Education Assessment (ELHAM).
Untuk memastikan permohonan program IEP disediakan mengikut kriteria yang ditetapkan oleh MQA, dokumen permohonan telah melalui tiga fasa penambahbaikan. Fasa pertama melibatkan laporan penilaian oleh penilai luar, Profesor Madya Dr. Sabariah Md Rashid dari UCSI University. Seterusnya, fasa kedua merangkumi penambahbaikan berdasarkan laporan penilaian oleh pihak Pusat Jaminan Kualiti Akademik (PJKA) yang diketuai oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Juliawati selaku Pengarah PJKA dan disertai oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid bin Ab Hamid selaku Pengarah Pusat Akreditasi Akademik (PAA). Fasa terakhir pula ialah sesi semakan akhir dokumen oleh PAA yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Rashid bin Ab Hamid dan disertai oleh Cik Lily Azwati binti Ab Latip, Pengurus PAA.
Penambahbaikan yang dilaksanakan adalah bersifat menyeluruh dan digerakkan secara kolaboratif oleh pasukan gerak kerja IEP PBM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Noor Raha selaku Pengerusi, dengan sokongan Dr. Ezihaslinda sebagai Timbalan Pengerusi I merangkap Penyelaras IEP, serta Dr. Wan Jumani sebagai Timbalan Pengerusi II. Pasukan ini turut melibatkan ketua-ketua kumpulan yang terdiri daripada guru bahasa Ingegris PBM, iaitu Puan Aisyah Hanum, Puan Nur Syafawati, Puan Marziah, Puan Azimah, dan Puan Nor Suhardiliana. Usaha ini juga disokong oleh ahli jawatankuasa serta ahli-ahli jawataknkuasa lain yang terlibat. Semangat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak membuktikan kesungguhan PBM dalam memastikan dokumen yang disediakan memenuhi standard akreditasi dan menyokong pelaksanaan program yang berkualiti.
Bagi pihak PBM UMPSA, penghantaran dokumen tersebut telah diwakili oleh Puan Nur Anisnabila Dianah dan Puan Nur Syafawati. Dokumen yang dikemukakan merangkumi beberapa komponen penting seperti maklumat struktur program, hasil pembelajaran, kaedah pentaksiran, serta justifikasi pelaksanaan, selaras dengan keperluan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MQA. Penghantaran secara fizikal ini turut memberi peluang kepada PBM untuk memperkukuh hubungan profesional dengan badan akreditasi tersebut.
Inisiatif ini dijangka memberi impak positif terhadap peningkatan tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar, di samping memperkukuh keyakinan dalam komunikasi akademik dan profesional. Selain itu, penyertaan PBM dalam program rintis ini mencerminkan kesediaan institusi untuk menjadi antara peneraju dalam pelaksanaan pendekatan pendidikan bahasa yang lebih inovatif dan berimpak tinggi.
Secara keseluruhannya, usaha ini bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi dan akreditasi malah menjadi bukti komitmen PBM dalam menyokong aspirasi KPT untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat global.
Disediakan oleh:
Nur Anisnabila Dianah dan Nur Syafawati Sabuan