Official Website    

DUOLINGO TOURNAMENT: PERTANDINGAN PEMBELAJARAN MELALUI APLIKASI MUDAH ALIH UNTUK MENINGKATKAN PENGUASAAN BAHASA SEPANYOL

KUANTAN, 2 Mei 2026 – Program Duolingo Tournament anjuran Kelab Bahasa Sepanyol telah dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan minat serta penguasaan pelajar terhadap Bahasa Sepanyol melalui pembelajaran digital mudah alih secara interaktif.

Pertandingan ini berlangsung sepanjang cuti pertengahan semester, iaitu bermula 25 April 2026 hingga 2 Mei 2026. Tempoh pendaftaran program telah dibuka bermula 13 April 2026 sehingga 24 April 2026. Konsep pertandingan yang santai dan fleksibel menjadi tarikan utama kepada peserta. Mereka boleh memilih untuk menyelesaikan tugasan pertandingan mengikut kelapangan waktu masing-masing dalam tempoh 7 hari.

Seramai 61 orang peserta telah menyertai program ini yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), khususnya pelajar yang sedang mengikuti kursus Spanish A1 serta bekas pelajar kursus Bahasa Sepanyol. Ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap penganjuran program berasaskan pembelajaran bahasa secara digital.

Pada 24 April 2026, sesi pembukaan program telah dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Microsoft Teams. Dalam sesi ini, pihak penganjur telah memberikan penerangan berkaitan peraturan, format pertandingan, serta tatacara pelaksanaan Duolingo Tournament kepada semua peserta bagi memastikan kelancaran program.

Seterusnya, pada 2 Mei 2026, sesi penutupan program telah dilaksanakan secara dalam talian melalui Microsoft Teams. Dalam sesi tersebut, pihak penganjur telah mengumumkan pemenang pertandingan serta menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta secara digital. Tempat pertama dimenangi oleh mahasiswa fakulti Kejuretaraan Kimia Iffah Aqilah Ag Jalaludin dengan mata terkumpul 11224, tempat kedua disandang oleh Jananee A/P Sunthararajan (mata terkumpul 9996) dan tempat ketiga Fatin Noraqilah Sovri (mata terkumpul 9889).

Secara keseluruhannya, program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar serta mencapai objektif dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Sepanyol melalui pendekatan pembelajaran digital yang interaktif.

 

Disediakan oleh : Azlina Mohd Arifin & Hamizah Zahari