Official Website    

DUA WAKIL PBM WAKILI UMPSA KE SUKUM 2026

GAMBANG, 16 Mei 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah terus melakar kecemerlangan apabila dua wakilnya, Mohammad Baihaqi Bin Hasni dan Siti Asma’ binti Yaacob, berjaya terpilih menyertai skuad ping pong universiti bagi menghadapi Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia Kali Ke-46 yang akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 5 hingga 15 Ogos 2026.

Pemilihan pemain tersebut dianjurkan oleh Sekretariat Sukan UMPSA bersama pengurusan pasukan ping pong universiti dengan penyertaan staf tetap dan kontrak daripada pelbagai pusat tanggungjawab.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan melibatkan Perseorangan Lelaki, Perseorangan Lelaki Veteran, Beregu Lelaki, Perseorangan Wanita, Perseorangan Wanita Veteran dan Beregu Wanita. Secara keseluruhannya, seramai lapan pemain lelaki dan lapan pemain wanita telah dipilih untuk membentuk skuad rasmi UMPSA ke SUKUM 2026.

Menurut Pengurus Pasukan Ping Pong UMPSA, Ts. Mohd Anuar bin Hj. Ramli, sesi pemilihan tersebut bukan sahaja menjadi medan mencari pemain berkualiti, malah dapat memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti.

Sementara itu, Penasihat Unit Eksekutif Sukan PBM, Dr. Amal Ruhil Azmuddin berkata, pemilihan dua wakil PBM ke dalam skuad universiti merupakan satu pencapaian yang membanggakan serta mencerminkan komitmen warga PBM dalam menyertai aktiviti pembangunan sukan di peringkat universiti.

Kejayaan dua wakil PBM menempatkan diri dalam skuad universiti membuktikan bahawa warga PBM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan bahasa, malah turut menyerlah dalam arena sukan kompetitif.

PBM turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua wakil tersebut dan berharap mereka mampu mengharumkan nama UMPSA di pentas SUKUM 2026 nanti.

Disediakan oleh: Mohammad Baihaqi Bin Hasni dan Siti Asma’ binti Yaacob