Official Website    

PBM UMPSA PERKUKUH AGENDA KEBAHASAAN MENERUSI WACANA PROFESIONAL KSBM 2026

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa profesional menerusi penyertaan dalam Wacana Profesional Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menghimpunkan wakil institusi pengajian tinggi, pakar bahasa dan pemegang taruh pendidikan tinggi bagi membincangkan pelaksanaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) sebagai piawaian pengukuran tahap penguasaan bahasa Melayu yang lebih sistematik, seragam dan berkualiti.

UMPSA telah diwakili oleh Dr. Nor Yazi Khamis, Pegawai Fokal universiti yang juga merupakan warga akademik Pusat Bahasa Moden. Penyertaan ini memberi peluang kepada UMPSA untuk berkongsi pandangan dan amalan terbaik bersama pakar serta pengamal bahasa dalam usaha memperkukuh ekosistem kebahasaan di peringkat pendidikan tinggi.

Wacana tersebut menampilkan Prof. Madya Dr. Karim Harun dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Tuan Haji Khaidir Othman daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia sebagai panel utama, manakala Nurul Julia Alani Henry dari Dewan Bahasa dan Pustaka mengendalikan sesi sebagai moderator.

Perbincangan sepanjang wacana memberi tumpuan kepada pelaksanaan KSBM sebagai kerangka standard bagi mengukur tahap penguasaan bahasa Melayu, selain menyentuh aspek penyetaraan pentaksiran bahasa serta mekanisme penilaian yang sesuai untuk pelbagai kelompok masyarakat termasuk sektor pendidikan dan profesional. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, komunikasi dan identiti nasional.

Menurut Dr. Nor Yazi Khamis, penyertaan dalam wacana profesional seperti ini bukan sekadar memberi pendedahan terhadap perkembangan terkini dalam standardisasi bahasa Melayu, malah membuka ruang untuk membina jaringan kerjasama dan bertukar pandangan dengan pakar serta pengamal bahasa dari pelbagai institusi.

“Kerangka Standard Bahasa Melayu bukan hanya instrumen pentaksiran, tetapi satu langkah penting dalam memastikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu dan bahasa profesional. Saya berharap hasil perkongsian dalam wacana ini dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh program pemerkasaan bahasa Melayu di UMPSA, khususnya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir berkomunikasi, malah menghargai nilai dan martabat bahasa kebangsaan,” katanya.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Strategik UMPSA, Pusat Bahasa Moden sentiasa komited dalam menyokong usaha memperkasa bahasa Melayu melalui pelbagai inisiatif akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan bahasa dan jaringan strategik bersama institusi serta agensi berkaitan. Penyertaan dalam wacana seperti ini diharapkan dapat memperkukuh lagi peranan PBM sebagai peneraju agenda kebahasaan dan pembangunan bahasa di universiti.

 

Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad & Dr. Nor Yazi Khamis