GERMAN CLUB DAY MERIAHKAN PERKONGSIAN BUDAYA DAN JUADAH JERMAN
GAMBANG, 14 Jun 2026 – Kelab Bahasa Jerman, Der Junge Adler, telah berjaya menganjurkan program "German Club Day: Food and Cultural Sharing Session" pada Ahad bertempat di Blok W, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Program yang berlangsung dari jam 5.00 petang hingga 8.00 malam itu menghimpunkan para peserta dalam suasana santai sambil meraikan kepelbagaian budaya.
Program dimulakan dengan sesi perkelahan (picnic session) yang memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dan berkenalan dengan lebih rapat. Pelbagai makanan ringan, snek dan minuman berinspirasikan negara Jerman turut disediakan untuk dinikmati bersama.
Selain itu, beberapa aktiviti menarik seperti "Secret Santa" dan "Mini Quiz" telah diadakan bagi memeriahkan suasana. Aktiviti tersebut bukan sahaja mencetuskan keseronokan, malah menggalakkan semangat kerjasama serta mengeratkan interaksi antara para peserta.
Salah satu pengisian utama program ialah sesi perkongsian budaya yang memberi peluang kepada peserta mengenali tradisi, makanan dan gaya hidup masyarakat Jerman. Sesi tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta pandangan tentang budaya masing-masing, sekali gus memupuk semangat saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya.
Menurut pihak penganjur, program ini bertujuan memperkenalkan budaya Jerman kepada komuniti kampus di samping menggalakkan pertukaran budaya dalam kalangan pelajar. Program ini menerima sambutan yang menggalakkan apabila para peserta memberikan maklum balas positif terhadap aktiviti yang dijalankan..
Program ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Jerman kepada peserta, malah membuka ruang interaksi yang lebih erat dalam kalangan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang. Penganjuran aktiviti seperti ini turut menyokong usaha UMPSA melahirkan graduan yang peka terhadap kepelbagaian budaya serta mampu berinteraksi dengan yakin dalam persekitaran antarabangsa.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamat penganjur dalam mengeratkan hubungan antara peserta di samping meningkatkan penghargaan terhadap budaya Jerman. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyemarakkan budaya perkongsian ilmu, persefahaman dan persahabatan dalam komuniti kampus.
Disediakan oleh: Amir Haikal Imran Bin Ahmad Asha’ari.