Official Website    

WARGA PBM CEMERLANG DI MAJLIS ANUGERAH HARI KUALITI & INOVASI UMPSA 2026

PEKAN, 18 Jun 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga akademik dan pentadbiran PBM atas kejayaan cemerlang yang diraih dalam Majlis Anugerah Hari Kualiti & Inovasi UMPSA 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Pencapaian membanggakan ini membuktikan komitmen, dedikasi, dan kecemerlangan berterusan warga PBM dalam melaksanakan tanggungjawab serta menyumbang kepada pembangunan akademik, inovasi, dan pengukuhan budaya kualiti di universiti.

Dalam majlis tersebut, lima warga PBM telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025, iaitu:

  • Dr. Umi Kalsom Masrom
  • Encik Mohd Shafiq bin Abdul Jabar
  • Cik Nurul Syazwani binti Aziz
  • Cik Fathiah Izzati binti Mohamad Fadzillah
  • Encik Khairul Amri bin Abdul Aziz

Selain itu, kejayaan turut dilakar oleh Cik Lee Cheng May yang menerima Anugerah Akademik Universiti: Ahli Akademik Harapan berserta hadiah bernilai RM3,000.00 sebagai pengiktirafan terhadap potensi dan kecemerlangan beliau dalam bidang akademik.

Dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Cik Jamilah Bebe binti Mohamad telah menerima Anugerah Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di UMPSA (Kategori Individu) berserta hadiah bernilai RM1,500.00. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen beliau dalam memperkukuh penggunaan dan pengembangan Bahasa Melayu dalam bidang akademik serta pendidikan tinggi.

Sementara itu, Puan Nurkarimah binti Yusof telah menerima Anugerah Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (Kategori Pentaksiran Alternatif) berserta hadiah bernilai RM2,000.00 hasil usaha beliau memperkenalkan pendekatan pentaksiran yang kreatif dan berimpak tinggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Turut mengharumkan nama PBM ialah Encik Shamsul bin Harbi dan Encik Mohd Shafiq bin Abdul Jabar yang berjaya merangkul Anugerah Penulisan Rencana Terbaik (Kategori Terbuka). Melalui anugerah tersebut, mereka menerima hadiah bernilai RM500.00. Kejayaan bersama ini mencerminkan kemampuan warga PBM menghasilkan penulisan yang berkualiti serta memberi nilai tambah kepada masyarakat dan institusi.

Dalam aspek jaringan industri pula, PBM turut berbangga apabila Warnakala Studio Sdn. Bhd. menerima Anugerah Rakan Industri Terbaik. Pengiktirafan ini berkait rapat dengan pelaksanaan Geran Industri bertajuk “Training Preschool Educators to Teach Reading Using the Warnakids English Reading Series” yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan bersama ahli projek, Dr. Wan Jumani Fauzi.

Kerjasama strategik antara PBM dan Warnakala Studio Sdn. Bhd. melalui geran industri tersebut memberi impak positif dalam memperkasa kemahiran pendidik prasekolah melalui pendekatan pengajaran membaca menggunakan siri bacaan Bahasa Inggeris Warnakids English Reading Series. Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan universiti dalam memperluas jaringan bersama industri serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Kejayaan yang diraih oleh warga PBM dan rakan industri ini menjadi bukti bahawa budaya kecemerlangan, inovasi dan kolaborasi yang diterapkan sentiasa menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang. PBM berharap pengiktirafan ini akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, pengajaran, penyelidikan serta jaringan industri demi kecemerlangan UMPSA pada masa hadapan.

Sekalung tahniah kepada semua penerima anugerah atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada peringkat yang lebih tinggi.

#PBMUMPSA #HKI2026 #APC2025 #KecemerlanganPBM #UMPSA

 

Disediakan oleh: Muhamad Aizat Zulkifli