PUSAT BAHASA MODEN UMPSA PERKUKUH AGENDA PEMARTABATAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU 2026
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2026 – Dalam usaha memastikan Bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan wahana pembinaan jati diri bangsa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh komitmennya melalui penyertaan dalam Bengkel Pelaporan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (PTMBM 2023–2030) yang berlangsung pada 14 hingga 15 Mei 2026 di Hotel Ideas, Kuala Lumpur.
Bengkel anjuran Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan pegawai fokal daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik, kolej komuniti dan agensi berkaitan bagi membincangkan aspek pelaporan, pelaksanaan serta hala tuju PTMBM 2023–2030.
UMPSA telah diwakili oleh Cik Jamilah Bebe Mohamad, Guru Bahasa Melayu dari Pusat Bahasa Moden yang bertindak sebagai pegawai fokal universiti bagi pelaksanaan pelan tindakan tersebut. Penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik antara institusi, malah memperkukuh jaringan kerjasama dalam memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi.
Menurut Dekan Pusat Bahasa Moden, Profesor Madya Dr. Zuriana Ali, penglibatan aktif dalam bengkel seumpama ini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang digariskan di bawah PTMBM dapat dilaksanakan secara sistematik dan berimpak tinggi di peringkat universiti.
“Pusat Bahasa Moden komited untuk terus memperkasa penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui pelbagai inisiatif akademik, pengantarabangsaan bahasa dan program libatsama komuniti. Penyertaan dalam bengkel ini memberi peluang untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh jaringan kerjasama dan mengenal pasti pendekatan terbaik dalam menjayakan agenda pemartabatan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi,” ujar beliau.
Penyertaan dalam bengkel ini turut memberi peluang kepada wakil UMPSA untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman bersama pegawai fokal dari seluruh negara berkaitan pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu (PTMBM 2023–2030). Melalui sesi perbincangan dan sumbang saran yang diadakan, pelbagai idea serta amalan terbaik berjaya dikenal pasti dan berpotensi untuk diadaptasi di UMPSA, khususnya dalam memperluas penggunaan Bahasa Melayu dalam ekosistem akademik dan memperkukuh agenda pengantarabangsaan bahasa di peringkat universiti.
Sepanjang bengkel, para peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi taklimat pelaksanaan PTMBM 2023–2030, pembentangan garis panduan pelaporan, sesi sumbang saran, soal jawab serta rumusan berkaitan strategi pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di institusi pendidikan tinggi.
Selaras dengan aspirasi universiti, Pusat Bahasa Moden UMPSA sentiasa giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan Bahasa Melayu, termasuk program pengantarabangsaan bahasa, aktiviti libatsama komuniti dan program yang melibatkan pelajar tempatan serta antarabangsa. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen universiti dalam mendukung dasar kebahasaan negara dan memartabatkan Bahasa Melayu di persada global.
Melalui penyertaan dalam platform seperti ini, PBM UMPSA berharap dapat terus menyumbang kepada usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah memahami peranannya sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan warisan yang menjadi identiti negara.
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad & Nor Yazi Khamis