Official Website    

PBM PEROLEH PINGAT PERAK DI TEMASYA OLAHRAGA UMPSA 2025

Kuantan, 15 Jun 2025 – Kontinjen Pusat Bahasa Moden (PBM) turun memeriahkan temasya olahraga tahunan dengan penyertaan empat atlet serta pasukan sorakan yang meniup semangat kesukanan sepanjang acara berlangsung. 

Sebanyak 33 acara dipertandingkan tahun ini merangkumi 20 acara untuk pelajar dan 13 acara staf. Acara termasuk larian 100m, 200m, 400m, 800m, 1500m, 3000m, 5000m, lontar peluru, lompat jauh serta acara berganti-ganti seperti 4x100m, 4x400m dan 8x50m. Kejohanan ini turut menjadi platform pemilihan atlet UMPSA ke peringkat kebangsaan dan acara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). 

Empat atlet PBM iaitu Shamsul Bin Harbi, Noraisah Nurul Fatwa Binti Mohd Razali, Hanisah Binti Bon (Kasbon) dan Mahzaton Aqma Binti Abu Talip telah menunjukkan komitmen tinggi dalam beberapa acara balapan dan padang. Penyertaan atlet PBM mengangkat nilai gaya hidup sihat dan kesejahteraan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik iaitu menjamin kehidupan yang sihat di semua peringkat usia. 

Mahzaton Aqma mencuri tumpuan apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara Lontar Peluru (Wanita) dengan catatan 6.46 meter. Beliau hampir menewaskan atlet dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Nor Farrah Waheeda (6.53 meter) dengan beza 0.07 meter. 

“Walaupun ini pertama kali saya menyertai pertandingan olahraga, saya bersyukur dan berterima kasih atas sokongan rakan-rakan PBM. Dapat menyumbang pingat untuk pusat ini merupakan satu pengalaman yang berharga.” ujar Mahzaton. 

Turut menyumbang semangat dalam acara lain ialah: 

  • Hanisah – Lontar Peluru (Wanita) 
  • Noraisah Nurul Fatwa – Lompat Jauh (Wanita)  
  • Noraisah Nurul Fatwa – Larian 100m (Wanita) 
  • Shamsul Harbi – Larian 100m (Lelaki): 13.84 saat, tempat ke-6 daripada 23 peserta 
  • Shamsul Harbi – Larian 200m (Lelaki): 31.4 saat, tempat ke-8 daripada 23 peserta 

Penglibatan ini turut mencerminkan komitmen PBM terhadap gaya hidup sihat dan agenda kelestarian melalui aktiviti yang memperkukuh kesatuan dan semangat kekitaan dalam komuniti kampus. Temasya Olahraga UMPSA 2025 menjadi manifestasi sukan ialah medium terbaik untuk mengurangkan tekanan, meningkatkan keyakinan diri dan mengeratkan jaringan social. Ia memperlihatkan Temasya Olahraga UMPSA sebagai platform kemenjadian warga universiti yang seimbang dari segi jasmani dan emosi.  

Warga PBM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet, penyokong dan pihak penganjur yang telah menjayakan temasya ini. Semoga warga PBM terus menyokong usaha universiti dalam membudayakan sukan sebagai gaya hidup sihat dan elemen perpaduan kampus. 

Seperti slogan Unit Sukan dan Rekreasi PBM “Hari ini bukan tentang siapa paling hebat, tetapi tentang siapa paling berani untuk mencuba”. Jumpa lagi tahun depan! Lebih kuat, lebih bersatu! 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng, Shamsul Harbi, Syahrina Ahmad