SEMARAK BUDAYA EKSA: USAHA, AMALAN DAN TRANSFORMASI ILMU MELALUI PENGHASILAN VIDEO OLEH UNIT EKSEKUTIF EKSA PBM
15 Mei 2025 – Usaha gigih, penghayatan amalan, dan pemupukan ilmu menjadi teras komitmen Unit Eksekutif Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA). Tahun ini, inisiatif tersebut dizahirkan melalui penghasilan dua video kreatif sebagai medium transformasi dan perkongsian ilmu berkaitan amalan EKSA di peringkat jabatan. Video ini juga dihasilkan bertujuan untuk menyertai Pertandingan Video Kreatif Amalan EKSA UMPSA 2025 yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Kualiti, Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti. Pertandingan yang terbuka kepada semua zon di UMPSA ini berlangsung dari 14 April hingga 15 Mei 2025.
Video pertama memaparkan pelaksanaan prinsip EKSA di peringkat PBM, khususnya dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif. Antara amalan yang diketengahkan termasuklah perlabelan, penjimatan air dan elektrik, amalan kitar semula, penerapan amalan kelestarian dan inovasi. Menariknya, usaha amalan kelestarian melalui aktiviti penaman hijau di sekitar kawasan PBM turut membuahkan hasil apabila tanaman nenas yang diusahakan telah mengeluarkan buah. “Banyakkan buah nenas yang berjaya dihasilkan,” ujar Puan Nor Suhardiliana Sahar selaku salah seorang guru bahasa yang terlibat dalam penghasilan video ini. Seterusnya video ini turut menampilkan penglibatan Penasihat Unit EKSA, Dr. Wan Jumani yang juga Ketua Program Jabatan Bahasa Asing, serta Dr. Fatimah Ali, Timbalan Dekan Akademik PBM.
Sementara itu, video kedua pula mengetengahkan inovasi “Quiz Tower” oleh kumpulan staf yang memperlihatkan kreativiti serta kesungguhan dalam memperkukuh budaya kerja yang lebih efisien dan mudah difahami. Usaha ini mencerminkan iltizam berterusan warga PBM dalam menyemarakkan amalan EKSA secara holistik. Video ini menampilkan Puan Nur Syafawati binti Sabuan, Cik Wan Noor Farah binti Wan Shamsuddin, Puan Nur Anisnabila binti Dianah, dan Encik Abdul Jalil bin Abdul Rahim. Video kumpulan ini memaparkan idea inovatif mereka dalam aktiviti pengukuhan serta penyebaran maklumat berkaitan amalan EKSA.
Sebagai penutup, Unit Eksekutif EKSA percaya bahawa adat bertanding ada kalah menang, namun yang lebih utama ialah usaha gigih yang telah dicurahkan, amalan baik yang telah dilaksanakan dan tranformasi ilmu yang berjaya dipupuk sepanjang proses penghasilan video kreatif ini. Unit ini kekal komited untuk terus memperkukuh budaya amalan EKSA dalam kalangan warga kerja PBM.
Kedua-dua video yang dihasilkan boleh ditonton melalui pautan berikut:
Video 1: EKSA gaya kami di PBM
Video 2: Dari Jenga ke Quiz Tower
Disediakan oleh: Jamilah Bebe Mohamad