Official Website    

GLOBAL CLASSROOM BUKA JENDELA DUNIA MELALUI BAHASA SEPANYOL

10 Mei 2025 – Seramai 125 pelajar kursus Spanish A1 (ULS1312) dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai sesi Global Classroom anjuran Pusat Bahasa Moden yang dijalankan secara dalam talian melalui Microsoft Teams. Inisiatif ini membuka peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan penutur jati bahasa Sepanyol dari luar negara. 

Apa yang lebih membanggakan, sesi istimewa ini telah dikendalikan oleh Dr. Violetta Brazhnikova Tsybizova, pensyarah antarabangsa dari Instituto Cervantes de Tokyo, Jepun, yang berasal dari Sepanyol dan merupakan pakar dalam bidang pengajaran bahasa Sepanyol. Beliau membimbing pelajar dalam topik "My First Conversation and an Easy Introduction", iaitu asas penting dalam komunikasi seharian. Dengan penyampaian yang bertenaga, penuh interaksi serta gaya mesra, Dr. Violetta berjaya mencetuskan keterujaan dan minat pelajar untuk bertutur dalam bahasa Sepanyol. 

Señora Azlina Mohd Ariffin, pensyarah kursus dan moderator sesi, menyatakan, “Ini bukan sekadar kelas bahasa; ini adalah pengalaman budaya.” Pelajar bukan sahaja mempelajari struktur ayat dan sebutan yang betul, malah turut didedahkan kepada keindahan dan keunikan budaya Sepanyol yang disampaikan secara autentik oleh penceramah. 

Inisiatif ini sejajar dengan matlamat UMPSA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta mahir dalam pelbagai bahasa. Global Classroom membuktikan bahawa gabungan teknologi dan pendidikan mampu merentas sempadan, menjadikan bahasa sebagai jambatan ilmu dan persefahaman global. 

Disediakan oleh: Azlina Mohd Ariffin