Official Website    

PBM PERKUKUH SISTEM PENGURUSAN KUALITI MELALUI LATIHAN AUDIT DALAMAN

PEKAN, 12 Februari 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM) terus komited dalam meningkatkan sistem pengurusan kualiti apabila dipilih sebagai lokasi latihan Hands-On Audit sempena Bengkel Latihan Juruaudit Dalaman MS ISO 9001:2015 anjuran Pusat Pengurusan Strategik & Kualiti (PPSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

MS ISO 9001:2015 merupakan piawaian antarabangsa yang menetapkan keperluan sistem pengurusan kualiti (QMS) dalam organisasi. Bengkel ini dianjurkan bagi melatih juruaudit dalaman universiti agar dapat melaksanakan audit secara sistematik serta menyediakan laporan penemuan yang menepati kehendak standard MS ISO 9001:2015. Sesi audit di PBM dijalankan sebagai sebahagian daripada latihan praktikal bagi peserta bengkel tersebut.

Sesi audit latihan di PBM berlangsung pada 12 Februari 2026, dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Bilik Mesyuarat, bangunan PBM, Pekan. Unit Jaminan Kualiti (UJK) PBM memainkan peranan dalam memastikan kelancaran sesi ini. Tiga ahli UJK iaitu Abdul Jalil Abdul Rahim, Hamizah Zahari dan Leong Hui Theng terlibat secara langsung bersama Dr. Ezihaslinda Ngah, Ketua Jabatan bahasa Inggeris sebagai auditee dan memberi kerjasama sepanjang latihan.

Bagi barisan juruaudit, sesi audit ini diketuai oleh Ts. Dr. Nurul Hidayah Razak bersama Profesor Madya Ts. Dr. Syarifah Abd Rahim, Profesor Madya Dr. Fazeeda Mohamad, Ts. Dr. Norazaliza Mohd Jamil, Nor Hafizah Zainal Abidin, Idayu Mat Ali dan Zahiruddin Mohd Zain.

Audit dalaman dilihat sebagai satu mekanisme memperkukuh sistem dan memastikan penambahbaikan berterusan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Inisiatif ini bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti yang menekankan kepentingan sistem pendidikan yang inklusif, berkualiti dan berterusan.

Selaku Ketua Unit Jaminan Kualiti (UJK) PBM, Dr. Umi Kalsom Masrom merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang sesi latihan tersebut. Menurut beliau, latihan ini memberi peluang kepada juruaudit menjalani pengalaman audit dalam situasi sebenar, di samping membantu PBM mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam sistem pengurusan kualiti sedia ada.

Penglibatan PBM sebagai lokasi latihan ini mencerminkan komitmen berterusan PBM dalam menyokong pelaksanaan sistem pengurusan kualiti yang berkesan serta membudayakan amalan kerja yang sistematik, telus dan berintegriti.

Secara tidak langsung, inisiatif ini turut memperkukuh usaha UMPSA dalam memastikan amalan tadbir urus yang cekap dan berkualiti terus diperkasakan, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara serta Matlamat Pembangunan Mampan.

 

Disediakan oleh: Leong Hui Theng, Hamizah Zahari & Abdul Jalil Abdul Rahim