Official Website    

BENGKEL PEMURNIAN KURSUS PBM SEMESTER 2 2025/2026 PERKUKUH PERANCANGAN AKADEMIK

PEKAN, 26 Februari 2026 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Bengkel Pemurnian Kursus (Course Review Workshop, CRW) bagi Semester 2 Sesi 2025/2026 selama dua hari, bertujuan memurnikan setiap kursus agar kandungan dan rancangan pengajaran selaras dengan standard akademik terkini serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih berkesan untuk pelajar.

Berlokasi di Bilik Mesyuarat Fakulti, bangunan PBM, kampus Pekan, bengkel ini menghimpunkan semua staf akademik Jabatan Bahasa Inggeris (JBI) dan Jabatan Bahasa Asing (JBA), menyediakan platform strategik untuk menyelaras dan memperkemas struktur kursus sebelum semester baharu bermula. Pensyarah dan guru bahasa dibahagikan secara kumpulan mengikut kursus masing-masing bagi memastikan perbincangan lebih efektif.

Fokus bengkel merangkumi beberapa aspek, antaranya mengemas kini bahan pengajaran, membangunkan rancangan pengajaran mingguan yang sejajar dengan objektif kursus serta menghasilkan laporan terperinci berkaitan cadangan modifikasi dan penambahbaikan kursus.

Hari pertama dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Dr. Ezihaslinda Ngah dan Ketua Jabatan Bahasa Asing, Dr. Nor Yazi Khamis. Bagi JBI, kursus seperti English for Academic Communication, English for Technical Communication, English for Professional Communication, English for Vocational Purposes, Fundamentals of English Language, Essential English serta kursus elektif seperti Project-Based Proposal Writing disemak secara kritikal. Sementara itu, semua kursus bahasa JBA termasuk bahasa Melayu, Arab, Mandarin, Jepun, Korea, Sepanyol dan Jerman turut dibincangkan.

Perbincangan menumpukan pada penjajaran hasil pembelajaran kursus (CLO), kesesuaian kandungan, kaedah pentaksiran dan pematuhan semakan kurikulum semasa. Inisiatif tambahan seperti Global Classroom (GC), webinar dan pembangunan Micro-Credential (MC) turut dibincangkan. Melalui sesi ini, setiap kursus diteliti secara kritikal bagi memastikan keselarasannya antara objektif, aktiviti PdP dan kaedah penilaian.

Pada hari kedua, mesyuarat diadakan untuk memuktamadkan hasil perbincangan hari pertama, diikuti pembentangan oleh penyelaras kursus. Ini adalah amalan baik bagi meningkatkan kualiti PdP.

Menurut Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Zuraina Ali, “Kita bukan sekadar mengajar sahaja, tetapi sentiasa memperbaiki cara pengajaran.” Prinsip ini menjadi dorongan kepada tenaga pengajar untuk terus menjadi kreatif dan inovatif.

Pemurnian kursus semester demi semester bukan sekadar rutin. Ia menjadi dorongan kepada staf untuk menjalankan pembelajaran berterusan bersama rakan sekerja sambil memperoleh pandangan baharu yang memperkukuh budaya penambahbaikan kualiti berterusan.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan membentangkan tadbir urus akademik yang tersusun, khususnya dalam perancangan semester, pematuhan dokumentasi, kawalan kualiti pentaksiran dan pelaksanaan PdP.

Setiap penyelaras juga membentangkan struktur kursus yang telah dimurnikan, termasuk cadangan penambahbaikan, perubahan pada penilaian dan kandungan serta strategi pengajaran sebelum dimuktamadkan.

Dengan semangat kolaboratif yang ditunjukkan sepanjang bengkel, semua kursus PBM bagi Semester 2 2025/2026 telah dimurnikan dan disusun dengan rapi. Bengkel Pemurnian Kursus PBM mencerminkan budaya penambahbaikan kualiti berterusan, sekaligus menunjukkan komitmen warga PBM dalam memastikan setiap kursus kekal relevan dan berkualiti demi manfaat jangka panjang pelajar dan universiti.

 

Disediakan oleh: Nur Anisnabila Dianah & Leong Hui Theng