Official Website    

PBM PACU KECEMERLANGAN MELALUI PEMANTAPAN AUDIT KENDIRI MS ISO DAN AQMS

PEKAN, 29 April 2026 — Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Audit Kendiri MS ISO dan AQMS bagi kursus Prasiswazah dan Pascasiswazah yang berlangsung dalam tempoh tujuh hari bermula 29 April 2026 sehingga 8 Mei 2026. Audit melibatkan lapan orang juruaudit serta sokongan staf pentadbiran.

Audit diketuai oleh Hamizah Zahari selaku Penyelaras merangkap Ketua Juruaudit, bersama Dr. Umi Kalsom Masrom, Abdul Jalil Abdul Rahim, Nurkarimah Yusof, Nurul Nadia Muhammad, Leong Hui Theng dan Nabila Abdul Malek. Kesemua juruaudit ini merupakan Ahli Jawatankuasa Unit Jaminan Kualiti PBM. Turut terlibat ialah Dr. Wan Raihan Wan Shaaidi sebagai juruaudit jemputan. Selain itu, staf pentadbiran PBM iaitu Muhamad Aizat Zulkifli dan Azizul Zainun bertindak sebagai Pengawal Dokumen bagi memastikan kelancaran pengurusan rekod sepanjang audit dijalankan.

Audit kendiri ini memfokuskan kepada semakan fail kursus digital serta pematuhan terhadap aspek governan akademik. Antara objektif utama audit adalah untuk menilai tahap pematuhan semua fail kursus digital bagi program prasiswazah dan pascasiswazah terhadap keperluan Manual Kualiti UMPSA, piawaian dokumentasi MS ISO 9001:2015 serta prosedur governan akademik di bawah Academic Quality Management System (AQMS). Selain itu, audit ini juga bertujuan mengenal pasti kelemahan serta jurang dalam dokumentasi, di samping memastikan keseragaman pelaksanaan merentas kursus yang ditawarkan.

Skop audit merangkumi semua kursus diploma dan ijazah yang ditawarkan oleh PBM, termasuk pematuhan governan bagi mesyuarat-mesyuarat utama yang dilaksanakan di PBM. Audit melihat perbincangan penambahbaikan kualiti serta amalan pemfailan yang cekap.

Pelaksanaan audit ini mencerminkan komitmen PBM dalam memperkukuh sistem pengurusan kualiti serta memastikan tadbir urus akademik berintegriti dan selaras dengan standard yang ditetapkan. Dapatan audit akan menjadi asas penting dalam usaha penambahbaikan berterusan demi meningkatkan kualiti penyampaian program di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

 

Disediakan oleh: Nurul Nadia Muhammad & Hamizah Zahari