Previous Next
">

MENCIPTA LEMBARAN BAHARU: TIGA AZAM BERMAKNA

Tahun datang, tahun pergi,
Tahun berganti membuka lembaran,
Lembaran berimbuh berhasil antalogi,
Antalogi berbicara sebagai hiburan.

Acap kali, tahun baharu dijadikan halaman kebangkitan harapan dan azam seseorang. Walaupun aspirasi ini dapat memberi dorongan dan motivasi, kejayaan yang dicari tidak akan tercapai sekiranya tidak di arah dengan jelas ke jalan dan matlamat yang di tuju. Namun demikian, apakah lembaran-lembaran baharu yang ingin dicoretkan ini akan lebih baik daripada tahun sebelumnya? Ibarat kata, azam baharu seumpama wishlist tawaran jualan akhir tahun, banyak yang diinginkan tetapi perlu bijak membuat pilihan.

Hakikatnya, setiap azam yang ditulis tidak hanya bergantung kepada niat dan perancangan semata-mata, tetapi memerlukan tindakan yang konsisten dan kesungguhan untuk mencapainya. Seperti pepatah, "usaha tangga kejayaan," setiap langkah kecil yang kita ambil, walaupun perlahan, adalah satu perjalanan menuju ke arah matlamat yang lebih besar. Oleh itu, azam yang realistik dan bersesuaian dengan kemampuan diri akan lebih mudah dicapai berbanding sasaran yang terlalu tinggi hingga menjadi beban. Sebagai permulaan, tumpukan pada tiga azam kecil tetapi bermakna, yang boleh membawa perubahan positif dalam kehidupan kita.

Meningkatkan Hubungan Dengan Tuhan
Hubungan spiritual adalah asas penting bagi setiap individu, tanpa mengira latar belakang agama atau kepercayaan. Kesibukan bekerja dan tuntutan kehidupan seharian boleh menjadi faktor kurangnya perhatian pada aspek rohani. Refleksi diri, berdoa, dan melaksanakan amalan agama dapat membina ketakwaan serta menjadikan kita insan yang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Amalan-amalan ini wajar dijadikan nawaitu diri untuk menyemarakkan permulaan tahun baharu ini. Kesannya, kita akan semakin memahami dan menerapkan ajaran agama dalam kehidupan seharian, sekali gus meraih ketenangan jiwa yang mendalam. Jelaslah hubungan yang baik dengan Tuhan bukan sahaja memberikan kekuatan rohani, tetapi juga selari dengan prinsip hidup beragama yang menjadi teras dalam kehidupan kita.

Memperbaiki Diri Sendiri
Dalam meniti kehidupan pada masa kini, pastinya terdapat cabaran dan rintangan yang perlu diatasi untuk mengembangkan jati diri. Tentunya setiap daripada kita tidak lari daripada melihat dan merenung ke dalam diri sendiri untuk menjadi lebih baik. Azam ini memfokuskan kepada pembangunan diri dalam mencapai keseimbangan rohani dan jasmani serta kesihatan mental dan emosi. Sebagai contoh, melatih diri agar menjadi lebih sabar, menghormati orang lain dan mengawal emosi tentunya dapat mengatasi kelemahan diri. Selain dapat memperbaiki diri dari segi peribadi, anjakan paradigma yang diambil juga dapat menguatkan ketahanan dalaman dan membina kehidupan yang lebih seimbang, lebih intelektual dan berketerampilan.

Mempereratkan Ikatan Sosial
Suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah kita, sebagai manusia, sentiasa menjalin hubungan sesama insan dan memerlukan antara satu sama lain. Namun pada realitinya, hubungan sosial ini sering kali terabai akibat gaya kehidupan moden yang serba pantas. Namun, tiada ubat yang tiada penawarnya. Menjadikan azam untuk mempereratkan kembali hubungan sosial boleh menjadi langkah yang bermakna untuk kehidupan yang lebih harmoni. Mencari resipi terbaik adalah usaha yang sangat berharga seperti meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan, menyertai aktiviti komuniti, atau sekadar memberikan perhatian kepada insan tersayang. Usaha ini bukan sahaja dapat mengukuhkan ikatan sosial tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan diri dan masyarakat.

Sebagai penutup wacana, dengan tumpuan kepada tiga azam utama iaitu meningkatkan hubungan dengan Tuhan, memperbaiki diri sendiri, dan mempereratkan ikatan sosial, semoga tahun baharu ini memberi kita peluang untuk bermula dengan azam yang lebih jelas dan terarah. Diharapkan perjalanan baharu ini akan lebih bermakna, menjadikan setiap hari sebagai peluang untuk berkembang dan meraih kejayaan yang lebih gemilang, serta mencipta naratif indah dalam antalogi hidup kita.

Disediakan oleh: Hanisah Bon (Kasbon)


Print   Email