KEMPEN KESEDARAN WARNA-WARNI EKSA 2024 DI PUSAT BAHASA MODEN UMPSA.
PEKAN, 20 Disember 2024 – Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melabuhkan tirai Kempen Kesedaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) tahun ini yang telah bermula pada bulan Julai 2024 yang lalu.
Kempen ini berjaya dilaksanakan dalam kalangan semua warga PBM iaitu dengan melibatkan lima pilihan warna dengan tema tertentu seperti berikut; biru penjimatan air, merah penjimatan elektrik, hijau “go green”, unggu budaya kerja berpasukan dan coklat budaya kerja cemerlang melalui EKSA. Melalui kempen ini satu hari pada setiap bulan akan dipilih sebagai hari kempen kesedaran EKSA dan semua warga akan mengenakan pakaian mengikut warna pilihan bulan tersebut.
Penganjuran kempen kesedaran ini merupakan usaha berterusan untuk memastikan aktiviti EKSA di PBM sentiasa konsisten dan melibatkan semua warga PBM secara menyeluruh. Walaupun kempen ini hanya melibatkan aktiviti mengenakan pakaian mengikut warna yang ditetapkan pada hari yang tertentu, kempen ini tetap membantu menjadikan amalan EKSA sebagai sebahagian daripada rutin setiap warga PBM. Kempen ini juga berjaya menyemarakkan semangat kerjasama dan kesedaran terhadap kepentingan persekitaran yang bersih, teratur, dan kondusif di tempat kerja.
Menurut Penyelaras Unit Eksekutif EKSA PBM, Puan Hanisah Bon (Kasbon), beliau sangat terharu dengan penyertaan yang begitu menggalakkan daripada seluruh warga staf PBM terhadap kempen kesedaran berwarna EKSA ini. Setiap kali kempen berlangsung, beliau merasa teruja untuk melihat semangat dan komitmen rakan-rakannya yang mengenakan pakaian dengan warna yang sama sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti EKSA di PBM.
Lebih membanggakan lagi, staf PBM tidak hanya sekadar berpakaian dengan warna yang seragam, malah mereka juga tidak ketinggalan untuk menghantar gambar dan video-video kreatif mereka. Ini bukan sahaja menunjukkan semangat kerjasama dan kesungguhan, tetapi juga sebagai cara mereka untuk turut serta dalam memeriahkan dan menyemarakkan kempen EKSA di PBM. Aktiviti ini membuktikan bahawa melalui tindakan kolektif yang sederhana dapat membawa perubahan yang bermakna.
Manakala menurut Cik Fathiah Izzati Mohd Fadzillah, selaku individu yang bertanggungjawab mengadakan promosi berkaitan kempen ini, beliau berpendapat bahawa kempen kesedaran EKSA melalui pakaian mengikut warna tema di PBM adalah satu langkah yang sangat efektif dalam memperkenalkan dan memupuk budaya EKSA dalam kalangan staf. Aktiviti ini juga sebagai satu simbolik kesatuan dalam kalangan warga PBM dalam menjayakan inisiatif EKSA, mengukuhkan lagi semangat berpasukan, dan memberi impak positif kepada suasana kerja yang lebih produktif dan kondusif.
Selain itu, warna juga sebenarnya merupakan elemen psikologi yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan penglibatan. Warna-warna tertentu dapat mempengaruhi mood dan emosi, sekaligus merangsang rasa tanggungjawab dan komitmen dalam kalangan staf. Dengan mengenakan pakaian yang seragam mengikut tema warna, setiap individu secara tidak langsung dipengaruhi untuk lebih peka terhadap amalan EKSA, menjadikan ia bukan hanya satu kempen, tetapi satu budaya yang diterapkan dalam kehidupan kerja seharian. Hal ini selaras dengan matlamat membentuk Amalan EKSA sebagai satu budaya.
Semoga amalan EKSA akan terus diterapkan dalam kalangan semua warga staf PBM dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang bersih, teratur, dan kondusif di sektor awam, bagi meningkatkan prestasi organisasi dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.
Disediakan oleh:
Jamilah Bebe Mohamad
Pengarah Program Kempen Kesedaran EKSA PBM 2024