Previous Next
">

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PUSAT BAHASA MODEN (PBM) 2024

17 April 2024 – Pengumuman yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:
"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu 10 April 2024."

Kemeriahan sambutan bulan Syawal lazimnya akan diteruskan selama sebulan, iaitu dengan kemeriahan jamuan raya berkonsepkan “Rumah Terbuka” dan “Majlis Sambutan Hari Raya” di pelbagai peringkat termasuk di tempat kerja. Pada 17 April 2024, Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA telah dapat menyempurnakan dengan jayanya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 peringkat jabatan bertempat di perkarangan lobi PBM di mana semua staf PBM berkumpul untuk meraikan sambutan hari raya dengan pelabagai aktiviti menarik seperti sesi bergambar, membawa makanan dan menjamu selera bersama-sama. Terdapat pelbagai hidangan terhidang seperti nasi minyak, sate, ayam golek, kambing golek, pelbagai jenis manisan dan buah-buahan serta kepelbagai jenis air. Makanan yang ditempah dan dibawa secara persendirian juga mempunyai keunikan dan kelazatan berbeza untuk dinikmati. Menurut Shamsul Harbi, burasak, merupakan makanan tradisi suku kaum Bugis Sabah yang sangat unik dan beliau menyediakan juadah ini untuk dikongsi bersama-sama staf PBM pada sambutan ini. Seterusnya majlis ini turut diserikan dengan kunjungan daripada staf di jabatan lain bagi memeriahkan suasana.

Majlis sambutan ini dianjurkan oleh Unit PBMCare PBM yang merupakan acara sambutan tahunan dilaksanakan ketika musim perayaan. Program yang berbentuk ikatan ukhuwah ini adalah simbolik dalam meraikan kemenangan setelah menempuhi tempoh sebulan berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Suasana ceria penuh kegembiraan dapat disaksikan sepanjang majlis ini dengan kehadiran staf dan tetamu jemputan berbusana baju hari raya masing-masing. Menurut salah seorang staf PBM, Cik Nurul Syazwani menyatakan bahawa majlis ini sangat meriah dan dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan staf PBM serta menambahkan keceriaan sambutan bulan Syawal. Beliau sangat gembira sepanjang majlis berlangsung dan melahirkan rasa penuh kesyukuran dengan nikmat serta kesempatan memeriahkan majlis ini.

Indahnya langit kerana awan
Indahnya laut kerana kebiruan
Indahnya Ramadhan kerana keinsafan
Indahnya Syawal kerana kemaafan

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

Disediakan oleh: Erma Yanti binti Zakaria & Jamilah Bebe Binti Mohamad

 


Print   Email