Previous Next
">

SEMOGA BERJAYA! KHAS UNTUK CALON MALAYSIAN UNIVERSITY ENGLISH TEST (MUET) 2024 di UMPSA

27 April 2024 (Sabtu) - Seramai 197 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan telah selesai menduduki ujian bertulis Malaysian University English Test (MUET) sesi 1 tahun 2024 yang diadakan di Dewan Serbaguna, UMPSA Pekan. Dalam masa yang sama, bertempat di Astaka, UMPSA kampus Gambang pula, seramai 69 orang pelajar turut menduduki ujian bertulis MUET. Pada sesi kali ini, dua pusat ujian telah dibuka iaitu di UMPSA Pekan dan Gambang untuk calon-calon yang terdiri daripada pelajar UMPSA peringkat Ijazah Sarjana Muda dan juga pelajar peringkat program Diploma. Pembukaan dua lokasi tempat ujian ini adalah bagi memudahkan para pelajar kerana mereka dapat hadir mengikut kampus masing-masing.


Lazimnya, ujian MUET diadakan sebanyak tiga (3) kali setahun mengikut takwim yang ditetapkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Menurut penyelaras Unit Kompetensi iaitu unit yang menguruskan ujian MUET di UMPSA, Puan Noraisah Nurul Fatwa binti Mohd Razali, “Ujian MUET diadakan adalah untuk mengukur tahap penguasaan bahasa Inggeris para pelajar UMPSA dan ujian ini juga merupakan syarat wajib untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan. Selain itu, tujuan ujian MUET diadakan dalam kampus UMPSA adalah untuk memberi kemudahan kepada pelajar UMPSA agar tidak perlu menduduki peperiksaan di luar kampus”.


Menurut Bayu Hanafi bin Norhazilan (RC22235) pelajar UMPSA yang merupakan calon ujian MUET kali ini, beliau menyatakan bahawa kemudahan yang disediakan untuk beliau dan rakan-rakannya menduduki ujian MUET di dalam kampus merupakan satu inisiatif yang baik dan beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perlaksanaan ujian ini. Seterusnya untuk ujian Lisan MUET pula akan diadakan pada 30, 31 April 2024, dan 5 hingga 9 Mei 2024 bertempat di Akademi Adab, UMPSA Pekan dan Perpustakaan, UMPSA Gambang bagi calon-calon kampus Kuantan. Umum mengetahui bahawa terdapat 4 komponen di dalam MUET iaitu, ujian mendengar, membaca, bertulis dan lisan. Para pelajar dikehendaki menduduki keempat-empat komponen untuk mendapatkan keputusan MUET mereka. Semoga berjaya di ucapakan kepada semua calon MUET UMPSA kali ini.

Disediakan oleh : Nurul Syazwani Abdul Aziz & Jamilah Bebe Mohamad


Print   Email